Toyota Corolla Altis sebagai kereta peronda polis? Bakal ganti Wira dan Waja secara berperingkat

3377

Go Auto Sales Sdn Bhd mempamerkan unit prototaip Toyota Corolla Altis yang bakal menjadi kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) baharu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu acara khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.

Go Auto telah menerima surat niat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membekalkan 425 unit MPV kepada PDRM bagi menggantikan Proton Wira dan Waja yang sudah berusia secara berperingkat.



Setiap unit MPV akan dipakejkan bersama servis percuma selama lima tahun dan turut   dilengkapkan dengan aksesori tambahan khas seperti Sistem Bunyi Lampu Bersepadu (Intergrated Light Sound System) dan Sistem Pengurusan Flit (Fleet Management System), termasuk dilengkapkan alat komunikasi radio berfrekuensi tinggi.

Persiapan unit prototaip MPV ini merupakan satu usaha Go Auto sebagai langkah awal untuk mendapat kelulusan segera dan seterusnya menyempurnakan penghantaran kesemua 425 unit MPV.

Go Auto mensasarkan 100 unit pertama akan dapat digunakan oleh PDRM menjelang APEC 2020.

Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin berkata, syarikat menjangkakan 100 unit pertama akan dihantar kepada PDRM dalam jangka masa kurang dua bulan, manakala baki 325 unit akan menyusul dua bulan kemudian.

“Ketika ini pihak Go Auto sedang menunggu keputusan terakhir dari Kementerian Kewangan bagi pembekalan tersebut.

“Ini merupakan tender kedua diperoleh Go Auto, sebelum ini kami sudah berjaya menghantar 200 unit kenderaan pacuan empat roda (4×4), pada tahun lalu dan penghantaran dilakukan lebih awal dari jadual.”

“Go Auto terlibat secara aktif dalam tender terbuka kerajaan dan swasta ketika ini kerana ia merupakan sebahagian cabang perniagaan (business diversification) dan fokus utama kepada ‘Special Vehicle’,” katanya.

“Saingan dalam industri automotif masa kini memerlukan Go Auto bergerak lebih agresif dan kreatif supaya kekal berdaya saing di pasaran,” tambahnya.

Mengenai Toyota Corolla Altis itu, ia dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang dijuruterakan untuk memberikan prestasi, dinamik pemanduan serta keselesaan lebih baik.

Enjinnya ialah 1.8-liter 2ZR-FE yang menghasilkan 139PS pada 6,400rpm dan 173Nm tork pada 4,000rpm. Transmisi pula Shiftmatic CVT dengan 7-kelajuan maya. 

Corolla Altis ini mendapat sistem keselamatan maju Toyota Safety Sense (TSS) terbaharu, iaitu ciri yang merangkumi Pre-Collision System, Lane Departure Alert dengan Steering Assist, Lane Tracing Assist, Dynamic Radar Cruise Control, Automatic High Beam dan Blind Spot Monitor.

Untuk pasaran awam, Corolla Altis ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.8G pada RM136,888 dan 1.8E pada RM128,888

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here