PKP: Tindakan lebih tegas dan keras jika ingkar PKP fasa tiga

1646

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan fasa tiga (PKP3) yang bermula esok, tindakan yang lebih tegas dan keras akan diambil sekiranya melanggar perintah ini termasuk reman dan dihadapkan ke mahkamah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil berpunca dari sikap segelintir rakyat yang kini dilihat tidak mengendahkan arahan kerajaan untuk berada di rumah.



Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati melanggar arahan PKP fasa tiga dan diberi kuasa untuk menahan seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

“Biar mahkamah dan hakim yang menentukan hukuman yang boleh dikenakan tidak melebihi dua tahun penjara untuk kesalahan pertama dan lima tahun untuk kesalahan seterusnya,” katanya.

PKP fasa tiga

Ismail Sabri juga berkata, polis menahan 1,374 individu kerana ingkar PKP yang merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala seramai 418 individu direman dan 25 individu dijamin polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam seramai 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036.

“Daripada jumlah itu juga seramai 427 individu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya.

Tambahnya, polis juga diberi kuasa budi bicara untuk menentukan keperluan seseorang itu perlu dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.

Beliau berkata, sehingga kini tahap pematuhan PKP juga tidak mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan dan berharap rakyat menerima ketegasan yang akan dilaksanakan dalam fasa tiga ini bagi memastikan Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here