PKP: Anak geng bikers ini bernikah secara online

2764

Dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang belum pasti dilanjutkan sampai bila, pastinya banyak acara dan majlis keramaian telah dibatalkan.

Sudah tentu majlis paling biasa dalam masyarakat kita ialah majlis perkahwinan. Sejak PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas, pastinya ada jemputan perkahwinan yang anda terima telah dibatalkan atau ditangguhkan.

Pengantin lelaki, Mohammad Syafiq (kiri).

Namun baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuka peluang untuk keluarga-keluarga menikahkan anak mereka secara online (dalam talian).



Peluang ini digunakan oleh salah seorang ahli kumpulan bikers Air Force Bikers Club (AFBC), Jaffar Othman untuk menikahkan anak perempuannya menggunakan cara terkini dalam tempoh PKP ini.

Jaffar Othman (paling kanan).

Jaffar dan isterinya, Suriahna Senawi telah selamat menikahkan anak perempuan mereka, Azrin Fazrina Jaffar pagi ini di kediaman mereka di Seksyen 20, Shah Alam.

Azrin Fazrina telah dinikahkan dengan pasangan pilihannya, Mohammad Shafiq Mohammad Zamri yang berada di rumahnya di Sungai Buloh, iaitu kira-kira 30km dari rumah pengantin perempuan.

Menurut Jaffar iaitu ayah kepada pengantin perempuan yang berhubung dengan Motoqar, majlis perkahwinan anaknya itu dirancang untuk dilangsungkan pada 11 April di Space U8, Bukit Jelutong, Selangor.

Namun majlis itu terpaksa dibatalkan apabila PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac. Jadi peluang bernikah secara online ini digunakan selepas JAIS membenarkannya dan memandangkan mereka masih dalam tempoh 3 bulan selepas pendaftaran pernikahan dibuat.

Sebarang pernikahan selepas tempoh 3 bulan pendaftaran adalah tidak dibenarkan, dan permohonan baharu hanya akan diterima oleh JAIS selepas tamat PKP.

Pengantin perempuan, Azrin Fazrina merupakan anak ketiga dalam keluarganya dan bekerja di sebuah syarikat pembuatan besi kimpalan. Pengantin lelaki, Mohammad Syafiq pula ialah kakitangan di sebuah syarikat telekomunikasi.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here