Toyota Motor rai jualan ke 50 juta Corolla, Malaysia sumbang sebanyak 300,000 unit

1478

Sejak mula diperkenalkan Toyota sudah menjangkakan Corolla akan menjadi model global.

Bukan hanya dieksport dari Jepun malah model itu turut dipasang tempatan (CKD) di banyak negara termasuklah Malaysia. Kini model itu menjadi kereta terlaris dunia dan hari ini Toyota Motor meraikan jualan ke 50 juta Corolla di peringkat global.

Toyota Corolla mula diperkenalkan pada November 1966 di Jepun sebagai kereta rakyat. Kehadiran sedan kompak lima tempat duduk dengan enjin 1000cc itu mendapat sambutan hangat. 



Dalam tempoh dua tahun, Toyota menggandakan pengeluaran daripada 480,000 ke 1.1 juta kenderaan. Pengenalan Corolla generasi pertama (E10) menjadi pemangkin pemilikan kereta besar-besaran di Jepun dan seluruh Asia.

Jualannya terus meningkat dan semakin kukuh sepanjang 55 tahun. Ketua Jurutera, Tatsuo Hasegawa merupakan individu yang bertanggungjawab di sebalik pembinaan Corolla.

Hasegawa menetapkan tanda aras bahawa Corolla perlulah memiliki ciri-ciri kebahagian dan kesejahteraan bagi pengguna di seluruh dunia.

Toyota terus berpegang teguh pada falsafah tersebut sehingga ke generasi 12 yang mana setiap generasi menawarkan ciri yang lebih maju daripada sebelumnya.

Toyota Corolla di Malaysia 

Di Malaysia, perjalanan Toyota bermula pada 1965 apabila kerajaan mempelawa pengeluar kenderaan untuk memasang produk mereka di Malaysia dan Toyota menjadi antara yang terawal menyambut inisiatif itu.

Model pertama yang dipasang tentulah Corolla di kemudahan Champion Motor milik Inchcape Group. Ketika itu kilang berkenaan memasang dua model iaitu Corolla KE10 dan Corona T40. 

Kemudian nama Inchcape Group ditukar kepada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB). Di Malaysia Corolla terus berkembang sejak pertama kali diperkenalkan pada 1968. Lebih daripada 40,000 unit Corolla generasi ke-10 terjual antara 2006-2013.

Hampir semua generasi Corolla dipasang di Malaysia namun sejak 2008 model berkenaan diimport (CBU) dari Thailand. Sehingga kini, kira-kira 300,000 unit Corolla dijual di Malaysia.

Mungkin ada antara kita tidak tahu sebenarnya Corolla bukan hanya ditawarkan dalam bentuk sedan. Turut tersedia versi hatchback, wagon, coupe dan minivan. Terbaharu, Toyota memperkenalkan SUV Cross yang baru saja dilancarkan di Malaysia Mac lalu. 

Toyota mendakwa sebuah model dengan lencana Corolla akan terjual setiap 28 saat di lebih 150 negara serata dunia. Sementara itu, Australia merupakan pasaran pertama Corolla yang menerima 15 unit model 2-pintu generasi KE10 dengan trenkuasa 1.1 liter pada November 1966.

Mengapa Corolla kekal relevan dan mendapat sambutan hangat, antaranya kerana pelanggan yang setia kepada model berkenaan. Menurut Toyota, 63 peratus pelanggan menukar-beli model lama mereka (atau menaik taraf) kepada model generasi baharu.

Selain itu, imej Toyota Corolla yang memberikan nilai terbaik untuk wang, ketahanan, keboleh-percayaan dan nilai jualan semula yang baik.

 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here