Yamaha Jepun paten moped mirip 135LC Fi pasaran Malaysia di Indonesia….

2338

Difahamkan moped Yamaha 135LC Fi (2022) bakal menjengah pasaran Indonesia selepas tiga bulan dilancarkan di Malaysia. 

Ini bukanlah perkara baharu kerana moped berkenaan melakukan debut di negara jiran bermula 2005 dengan nama Jupiter MX 135.



Bagaimanapun, Yamaha Jupiter MX 135 yang dijual 2010 hingga 2015 itu dihentikan sebaik kemunculan MX King 150. Jadi moped legenda di Malaysia itu sudah lama vakum di pasaran Indonesia.

Namun, kemunculan imej paten di Pangkalan Data Kekayaan Intelektual Indonesia (PDKI) yang merupakan laman rasmi paten dan rekaan produk di Indonesia memberi petanda kemunculan semula Jupiter MX 135. 

Menerusi daftar paten itu reka bentuk motor tersebut mirip dengan Yamaha 135LC Fi dengan nombor permohonan A00202103053 yang didaftarkan pada September 2021. Cuma bilakah model itu bakal dilancarkan masih belum diketahui. 

Berdasarkan rujukan penulis PanduLaju dengan pihak Yamaha Motor Corporation (YMC) sebenarnya pihak Jepun yang mengemukakan permohonan paten di negara pasaran utama Asean, termasuk Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Ini adalah langkah biasa bagi mengelak berlakunya plagiat reka bentuk seperti mana yang dilakukan pengeluar baharu di China.

Sekiranya YMC tidak mempatenkan reka bentuk tersebut pihak yang tidak bertanggungjawab berpotensi menggunakan dan menjual produk dengan reka bentuk yang sama.

Perkara ini juga berlaku di Malaysia jika anda boleh melihat pada ‘satu’ produk ini yang memiliki kemiripan reka bentuk motor jenama Jepun.

Selain itu, Hong Leong Yamaha Motor mengesahkan tiada rancangan untuk mengeksport moped tersebut ke Indonesia dalam masa terdekat.

Bahkan apabila produk dipatenkan di Indonesia tidak mustahil moped itu bakal dilancarkan ke pasaran lokal. Cuma difahamkan kemunculan produk itu bukan dalam masa terdekat. 

Jika berita tersebut sahih, kehadiran moped berkenaan bakal mengulangi kembali kejayaan Jupiter MX 135 dan menghidupkan kembali kegemilangan pasaran motor moped di sana. Ini kerana segmen skuter masih mendominasi pasaran dua roda Indonesia. 

Yamaha 135LC Fi dijana oleh ejin 135cc silinder tunggal dengan dimensi gerek dan lejang yang sama dengan Jupiter MX karburator yang pernah dijual di Indonesia.

Enjin yang mematuhi regulasi Euro 4 itu menghasilkan kuasa maksimum 12.4hp @ 8,000rpm dan tork 12.2Nm @6,000rpm. Selain itu 135LC FI juga sudah didatangkan dengan meter digital LCD monokrom bersama pencahayaan LED.

Di samping itu, untuk makluman Yamaha 135LC direka khusus oleh pereka Jepun untuk pasaran tempatan selepas melakukan survei dan mengumpul data berdasarkan selera pengguna di Malaysia.  Tiada istilah moped itu hanya eksklusif dijual di Malaysia sebenarnya.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here