Nahas pesawat Elmina adalah yang kedua selepas tragedi JAL 1977

627

Insiden jet peribadi Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam bukanlah kali pertama berlaku di kawasan itu.

Ia merupakan tragedi kedua selepas 46 tahun. Kemalangan pertama berlaku pada 27 September 1977 melibatkan pesawat McDonnell Douglas DC-8 dengan nombor pendaftaran JA8051.



Pesawat komersial itu terbang dari Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura.

Sebelum itu, pesawat berkenaan transit di Lapangan Terbang Kai Tak, Teluk Kowloon, Hong Kong dan Lapangan Terbang Subang, Malaysia.

Ketika menghampiri Lapangan Terbang Subang, pesawat Jepun berkenaan terhempas ke sebuah bukit yang ketika itu dikenali sebagai Estet Elmina yang merupakan ladang getah. 

Akibatnya, beberapa bahagian badan kapal terbang 715 Japan Airlines tersebut berkecai akibat hentaman namun tidak terbakar.

CUACA BURUK

Mangsa yang terselamat ketika pesawat terhempas di Estet Elmina (19770)- Kredit Foto: NST

Insiden berpunca daripada cuaca buruk. Kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Subang memberitahu juruterbang untuk mendarat di landasan 15.

Pesawat itu turun di bawah ketinggian minimum 750 kaki. Tetapi pada ketinggian 300 kaki ia terhempas iaitu empat batu dari lapangan terbang. 

Pesawat yang membawa 10 anak kapal dan 69 penumpang itu seharusnya transit di Lapangan Terbang Subang sebelum menuju Singapura. Dalam tragedi itu, 34 orang maut, terdiri daripada 26 penumpang dan lapan anak kapal.

Sementara, 45 mangsa yang terselamat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mendapati punca kemalangan kerana kapten turun di bawah altitud penurunan minimum tanpa melihat landasan, dan meneruskan penurunan.

Ia menyebabkan pesawat itu terhempas sebelum tiba ke lapangan terbang. Nahas itu merupakan bencana penerbangan kedua terbesar berlaku di Malaysia sehinggalah dua bulan kemudian berlakunya tragedi lebih besar melibatkan rampasan pesawat MAS 653 (Pulau Pinang ke Kuala Lumpur) yang meragut nyawa 100 orang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here