Lexus Malaysia lancar hibrid prestasi pertamanya, Lexus RX 500h F SPORT

240

Selepas pengenalan model Lexus RX 350 Luxury generasi kelima untuk pasaran Malaysia pada Mei lalu, Lexus Malaysia kini mengumumkan pula ketibaan RX 500h F SPORT 2023 untuk pasaran tempatan. 

Varian terbaharu ini menjadi penawaran tambahan yang penting bagi jenama Lexus di sini, menuju ke arah penawaran sistem janaan bersih dan hijau yang lebih meluas pada masa hadapan.



Varian baharu itu menggunakan sistem hibrid baharu yang terdiri daripada enjin tork tinggi 2.4-liter turbo yang digandingkan bersama sebuah motor elektrik. 

Ia juga dilengkapi unit bersepadu eAxle dengan seunit motor elektrik janaan tinggi, inverter dan kotak gear reduction. 

Sistem hibrid baharu

Sistem pacuan maju ini kemudiannya digandingkan transmisi automatik enam kelajuan, yang menghasilkan 202 kW kuasa dan 460 Nm tork secara keseluruhannya. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kawalan DIRECT4, teknologi pacuan eksklusif baharu Lexus. 

Memberikan lebih rasa dinamik dan sporty kepada Lexus RX 500h F SPORT ini, rekaan suspensi baharu diperkenalkan, dengan menggunakan sistem Dynamic Rear Steering (DRS) yang mana bahagian belakangnya dilaraskan mengikut tahap dengan roda depan untuk memberikan kestabilan dan keyakinan. 

Sementara itu, ketika dalam kelajuan rendah pula mereka bertentang dari pendekatan terbabit untuk menjadikan belokan ke dalam selekoh dan ruang sempit lebih mudah untuk kesenangan pemandu. 

Lexus RX 500h F SPORT 2023 menggunakan platform GA-K (Global Architecture – K), yang memberikan ketahanan lebih baik untuk kelebihan keselesaan, maklum balas serta kelincahan yang dapat dirasakan ketika memandu. 

Satu daripada manfaat utama platform GA-K ini adalah ia membolehkan tetapan jarak antara roda dan jejak tanah yang lebih untuk rekaan badan kenderaan yang mengggunakannya, membolehkan ruang kabin yang luas.

Rekaan masa hadapan 

Dari segi luarannya, Lexus RX 500h F SPORT menampilkan rekaan yang ekspresif seperti yang dilihat pada rekaan spindle grille yang diapit oleh rekaan lampu utama yang nampak mewah. 

Ia juga dilengkapi lencana Lexus serba baharu dan bilah lampu belakang LED pula menyerlahkan lagi kemewahan SUV ini. 

Lexus RX 500h F SPORT dilengkapi rim 21-inci aloi ringan dengan hitam kesat dan datang bersama profil tayar eksklusif 235/50R21. Selain dilengkapi logo F Sport serta dipadankan cermin sisi hitam.

Ciri-ciri menyerlah 

Bahagian dalam pula berbeza daripada barisan model RX yang lain. Ini termasuk tempat duduk yang diperbuat daripada UltrasuedeTM, balutan kerusi eksklusif daripada bahan mentah tumbuh-tumbuhan. 

Ia juga dilengkapi kemasan Dark Spin Aluminium, yang memanfaatkan penyudah dengan kesan rasa dan visual berkilau yang menyeluruh bagi panel instrumennya. 

Lexus RX 500h F SPORT juga datang dengan sistem bukaan pintu elektronik e-Latch, sebuah sistem elektronik yang menggantikan pemegang pintu sebelah dalam dengan suis tekan yang berada di sisi perehat lengan di panel pintu untuk capaian lebih mudah bagi urusan keluar-masuk kenderaan. 

Untuk memberikan pengalaman audio yang mengasyikkan, Lexus RX 500h F SPORT menggunakan sistem bunyi Mark Levinson yang mengeluarkan bunyi berkualiti hi-fi melalui 21 pembesar suara dan subwoofer-nya. 

Dari segi keselamatan pula, Lexus RX 500h F SPORT lengkap dengan Lexus Safety System+, yang menampilkan ciri seperti sistem amaran pra-perlanggaran yang dicipta untuk memaklumkan pemandu dan mengambil langkah pencegahan aktif bagi berhadapan dengan situasi pemanduan seharian. 

Untuk pasaran tempatan, Lexus Malaysia menawarkan Lexus RX 500h F SPORT 2023 dalam empat warna luaran

  • White Nova Glass
  • Sonic Iridium
  • Graphite Black Glass Flake
  • Sonic Copper

Lexus RX 500h F SPORT datang dengan perlindungan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan, sementara Hybrid Battery Pack diberikan jaminan lapan-tahun tanpa had perbatuan, dan boleh dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi sebagai pilihan. 

Tempahan akan dibuka pada 18 Ogos 2023 dengan harga bermula dari RM498,888. Maklumat lanjut boleh didapati di www.lexus.com.my. 

Galeri Gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here