“Kereta dilelong tanpa pengetahuan walau sudah lunas bayaran tertunggak,” mangsa

984

Bukan saja terpaksa menanggung baki pinjaman kereta dan kos bank, kenderaan juga dilelong tanpa pengetahuan pemilik.

Siti Adawiah Ismail, 33, berkata, semuanya bermula selepas dia gagal membayar pinjaman Nissan Almera selama tiga bulan sejak Januari hingga Mac lalu kerana menderita sindrom risau terlampau (anxiety disorder). 



Menurutnya, dia membeli kereta itu pada harga RM65,000 dan sudah membayar pinjaman lebih RM60,000 yang mana baki pinjaman kira-kira RM5,000.

“Ketika saya keluar menghantar bapa ke sebuah klinik kesihatan di Taman Seri Rampai, Wangsa Maju, pada 15 Mac lalu dua lelaki menghampiri saya sebaik saya memarkir kereta di tepi jalan.

“Mereka beritahu mahu menarik kereta kerana saya gagal melunaskan bayaran bulanan untuk tempoh tiga bulan sebelum menunjukkan sehelai surat mendakwa arahan bank.

“Saya akui kesilapan kerana gagal membuat bayaran berkenaan, jadi saya terpaksa akur,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). 

Tambahnya, dia perlu membayar kos tarik kereta, kos pengurusan bank dan sebagainya namun masalah kewangan dihadapi menyebabkan dia gagal melunaskan bayaran diminta.

Desakan oleh pihak bank menyebabkan abang kandung yang juga penjamin terpaksa membayar keseluruhan baki pinjaman sebanyak 3,742.70 Ogos lalu.

“Namun, saya terkejut apabila mendapati kereta saya sudah dijual kepada individu lain sejak April lalu, iaitu sebulan selepas kereta ditarik.

“Saya tidak terima sebarang notis atau pemberitahuan untuk kereta dilelong dan saya minta penjelasan bank, namun mereka beri alasan saya lambat bayar.

“Saya pergi ke JPJ dan disahkan nombor pendaftaran kereta saya atas nama individu lain. Namun saya terima notis untuk perbaharui insurans dan semakan dapati, kereta itu masih di atas nama saya.

“Saya hairan kerana kereta itu bukan lagi milik saya walaupun sudah melunaskan keseluruhan bayaran pinjaman,” katanya.

DITINDAS PENARIK KERETA

Gambar hiasan

Seorang lagi mangsa mahu dikenali sebagai Hamshe, 26, mendakwa ditindas penarik kereta apabila dikenakan caj RM20,000 bagi kos tarik kereta selain selain diugut kumpulan itu.

Menurutnya, dia membeli sebuah Mercedes-Benz daripada sebuah syarikat kenderaan terpakai dan membayar deposit RM93,000.

“Selepas itu, saya tidak dapat membayar ansuran selama dua bulan kerana berdepan masalah kewangan. Saya menghubungi sebuah agensi kewangan untuk meminta penangguhan bayaran, tetapi tidak dilayan.

“Ketika rundingan, pegawai berkaitan meminta saya untuk memulangkan kereta dan menawarkan cashback sebanyak RM10,000. Saya tidak bersetuju kerana sudah membayar RM93,000.

“Pada 25 September lalu, kereta saya ditarik oleh ejen penarik kereta dan diminta membayar tunggakan pinjaman serta beberapa kos lain.

“Berdasarkan surat diberikan, bayaran yang perlu saya lunaskan tidak masuk akal iaitu perlu membayar RM20,000 untuk mendapatkan semula kereta berkenaan,” katanya.

Hamshe berkata, dia masih cuba berunding dengan pihak berkaitan untuk menjelaskan bayaran pembelian kereta seperti perjanjian awal namun tidak dilayan sebelum dimaklumkan keretanya sudah dilelong.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here