Toyota umum kejayaan pembinaan bateri solid dengan jarak perbatuan 1,200km dengan cas 10 minit

245

Toyota menyatakan hampir dapat mengeluarkan bateri yang boleh menawarkan perbatuan dua kali ganda berbanding rangkaian kereta elektrik (EV) sedia ada.

Menurut Toyota, kereta yang dikuasakan bateri solid itu boleh menawarkan jarak pemanduan 1,200km dengan masa pengecasan 10 minit dan bakal memasuki pasaran pada 2027 atau 2028.



Produk itu dibentangkan oleh pakar sebagai teknologi revolusi yang bakal menjadikan EV sebagai kenderaan arus perdana. 

Peralihan kepada EV masih diluar capaian ramai pengguna Amerika yang mana pakar menyatakan kerana kurangnya akses kepada stesen pengecasan dengan kebimbangan lebih ramai terkandas dengan kenderaan jarak perbatuan dekat.

Jarak pemanduan EV berbeza antara model tetapi biasanya menawarkan perbatuan 482km dengan sekali cas bateri penuh. 

Walaupun bateri solid bakal memberi perubahan, namun ia adalah cabaran buat pengeluar. Menurut Toyota, salah satu halangan yang paling ketara ialah proses pemasangan iaitu lapisan sel katod dan anod perlu disusun dengan cepat dan tepat.

“Dari segi kelajuan menyusun, kami hampir capai. Kami akan melancarkan jumlah yang lebih besar dan menyemak kualiti,’ kata seorang jurutera syarikat.

Awal bulan ini, Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Koji Sato mengumumkan syarikat itu akan bekerjasama dengan penapis minyak utama Jepun, Idemitsu Kosan bagi projek pengeluaran bateri.

“Dengan usaha berulang yang melibatkan percubaan dan kesilapan, kami berjaya membangunkan bahan yang lebih stabil dan kurang mudah retak.

“Masa depan mobiliti terletak pada jalinan antara sektor auto dan tenaga, termasuk inovasi yang berasal dari Jepun,” katanya.

Dorongan jualan EV Toyota muncul apabila jualan di Amerika Syarikat menurun susulan cadangan harga jualan yang tinggi dan julat pemanduan terhad.

Ditambah dengan kontroversi kitar semula bateri litium-ion yang terhad dan kebergantungan pada perlombongan litium dan risiko kebakaran.

Bateri solid menawarkan masa pengecasan lebih pantas, kapasiti yang besar, jangka hayat lama bahkan menurut laporan baru-baru ini ia boleh mengurangkan jejak karbon EV hampir satu perempat.

Walaupun bateri solid sukar dihasilkan, Toyota mendakwa mencapai ‘kejayaan’ teknologi yang membolehkan penghasilan pada kadar yang sama seperti bateri sedia ada untuk EV. 

Toyota berharap pembangunan itu akan membolehkannya menggantikan Tesla dan pesaing China yang semakin dominan seperti BYD. 

Banyak pembuat kereta terkemuka lain juga sedang mengusahakan bateri solid termasuk Nissan dan Ford.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here