[Video] Peniaga rugi RM600, polis cari suspek naik Viva

374

Seorang peniaga wanita mengalami kerugian sekitar RM600 selepas dua tayar Toyota Yaris miliknya ditoreh dan pancit di parkir sebuah pasar raya di Triang, Bera, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa menyedari perbuatan khianat tersebut selepas membeli barangan keperluan kedai makan miliknya.



Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa menyedari dua tayar itu pancit pada bahagian kanan depan dan belakang selain terdapat kesan torehan pada tepi tayar dipercayai menggunakan objek tajam.

Menurutnya, mangsa mengesahkan tidak ada musuh dengan sesiapa dan tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak pinjaman wang selain bank.

“SUV tersebut didaftarkan atas nama suami dan digunakan secara bersama oleh pengadu dan suami.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan khianat itu dengan cara mencucuk menggunakan objek tajam,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman CCTV memaparkan suspek menaiki Perodua Viva sedang melakukan perbuatan khianat pada beberapa kenderaan di parkir berkenaan.

Tambah Zulkiflee, selain mangsa, dua lagi laporan polis diterima pihaknya melibatkan kejadian dan lokasi sama dan satu lagi di sebuah lokasi berlainan di kawasan dobi di Triang Sentral pada hari sama.

Pihak polis sedang mengesan suspek yang menaiki kereta Viva itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here