Toyota Yaris Cross (2023) dapat pilihan enjin hibrid berkuasa

640

Sejak pengenalannya pada 2021, Yaris Cross pantas mengukuhkan posisinya dalam pasaran SUV segmen-B di Eropah.

Seiring dengan kitaran produk, Toyota Eropah rasmi memperkenalkan Yaris Cross Facelift yang menerima naiktaraf  janakuasa baharu, kemaskini teknologi dalam kabin, kedapan dan keselamatan.

ENJIN 

Yaris Cross menyertai versi hatchback menerusi rangkaian kuasa dua hibrid baharu menggunakan teknologi hibrid generasi kelima Toyota.



Rangkaian kuasa baharu, Hybrid 130 itu menggunakan enjin 1.5 liter NA dengan motor elektrik (MG1) yang lebih besar dan berkuasa.

Ia menghasilkan peningkatan 14 peratus total output iaitu 132hp dan tork 185Nm. Pecutan 0-100kmj kini lebih pantas 0.4 saat yang dicapai dalam tempoh 10.7 saat. 

Prestasi tangkas itu disokong platform GA-B yang menawarkan pusat graviti rendah dan badan lebih tegar.

Trenkuasa Hybrid 130 akan diperkenalkan pada versi tertinggi iaitu Premiere Edition dan GR SPORT.

Manakala sistem hibrid 116 DIN hp sedia ada kini dikenali sebagai Hybrid 115. Versi Hybrid 115 menawarkan output 114hp dan tork 141Nm. 

KEDAPAN BUNYI KABIN

Yaris Cross baharu mendapat manfaat daripada pelbagai langkah tambahan untuk mengurangkan bunyi dan getaran.

Bagi mengurangkan bunyi bising enjin, empat bahagian utama menjadi tumpuan penambahbaikan:

  • Peredam dinamik telah ditambah pada mounting enjin sebelah kiri
  • Resonator dipasang pada hos intake
  • Silencer bahagian dalam papan pemuka ditukar daripada satu kepada tiga lapisan
  • Lapisan felt tambahan telah ditambahkan pada silencer kowl atas 

Bagi menghalang bunyi angin dan jalan masuk ke kabin, Toyota menggunakan cermin yang tebal pada bahagain depan, sisi dan belakang.

SISTEM INFOTAINMEN

Bergantung pada varian, Yaris Cross didatangkan dengan kluster instrumen digital bersaiz 7-inci dan 12.3-inci. Manakala skrin sentuh infotainmen ditawarkan menerusi saiz 9-inci dan 10.4-inci.

Sistem multimedia Toyota Smart Connect menerima naik taraf kemas kini secara online (OTA) dan ketersambungan Android Auto serta Apple CarPlay tanpa wayar. 

KUNCI DIGITAL PINTAR

Untuk keselesaan dan keselamatan, Yaris Cross kini dilengkapi Kunci Digital Pintar seperti mana versi hatchback. 

Ia boleh disambungkan ke aplikasi MyT dengan akses maksimum lima pengguna. Kunci digital itu beroperasi mengunci, membuka dan menghidupkan kereta tanpa perlu mengeluarkan telefon.

MyT juga menyediakan fungsi berguna yang lain, termasuk mengunci/membuka kunci kawalan jauh, operasi kawalan pendingin hawa pra-perjalanan dan pengaktifan lampu kecemasan untuk membantu mengesan lokasi kereta. 

KIT KESELAMATAN

Sementara itu, Toyota T-Mate didatangkan standard pada semua varian. Ciri peralatan yang dinaiktaraf adalah pengimbasan kamera dan radar baharu dengan jarak lebih jauh dan luas daripada sebelumnya.

Tambahan baharu pada ADAS termasuklah Pre-Collision System, Acceleration Suppression, Proactive Driving Assist, Safe Exit Assist dan Rear Seat Reminder System.

Sementara Kawalan Kruise Adaptif lebih lancar dan pantas berbanding sebelumnya.

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here