Menjelang pengeluaran, imej kabin Tesla Cybertruck bocor

198

Selepas empat tahun versi prototaip diperkenalkan, akhirnya model pengeluaran Tesla Cybertruck akan dilancarkan pada 30 November. 

Tesla akan memulakan penghantaran trak pikap elektrik berkenaan kepada pelanggan Khamis depan.

Diharapkan juga, maklumat terperinci misalnya bateri, pacuan, output, jarak perbatuan dan harga diumumkan pada hari berkenaan.



Menjelang pelancaran rasmi trak pikap pertama Tesla itu, beberapa video dan imej Cybertruck bocor di media sosial. Termasuklah imej baharu yang berkemungkinan foto rasmi produk. 

Foto-foto itu dimuatnaik oleh akaun X @ya78756632 yang mana imej asal daripada pengguna xiaohongshu di Weibo. 

Imej itu menunjukkan dengan jelas bahagian papan pemuka dengan kemasan putih termasuklah skrin sentuh antara muka, stereng bersegi, konsol tengah yang besar, tempat duduk sporty dan bumbung suria.

Salah satu foto mendedahkan sebahagian menu pada skrin sentuh yang menunjukkan kawalan suspensi (high,low,entry), tetapan stereng dan lampu depan, operasi buka/tutup penutup tonneau, lampu depan, mod sentry dan car wash serta lain-lain.

Tempat duduk depan didatangkan dengan liang pengudaraan dengan fungsi pemanas dan ventilasi. Satu lagi imej memaparkan ruang simpanan bahagian depan bersaiz kecil.

Menerusi poster iklan di bilik pameran, Cybertruck mempunyai kapasiti tunda sebanyak 5,000kg dan muatan seberat 1,134kg.

Selain itu, Tesla juga menyatakan lantai bonet Cybertruck diperbuat daripada acuan komposit keluli tahan karat ultra-keras (SMC), kacanya tahan pecah dan mempunyai rangka luar keluli tahan karat ultra-keras yang mana apabila disatukan menjadikan ia trak paling ketahanan tinggi di dunia.

Untuk mengetahui lebih lanjut tunggu saja 30 November ini iaitu penyerahan 10 unit Cybertruck kepada pelanggan yang akan berlangsung di Gigafactory Texas, menurut Pengarah Reka Bentuk Produk, Tesla Javier Verdura.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here