Datang KL nak ‘test’ motor pelanggan, mekanik ditahan

176

Seorang mekanik sanggup datang ke ibu negara dari Puchong hanya ingin menguji kelajuan motosikal yang diubahsuai.

Namun, tindakannya itu menjerat diri apabila ditahan polis dalam satu ‘Op Motosikal’ dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sekitar Kuala Lumpur pada 16 Disember lalu. 



Difahamkan, lelaki yang bekerja sebagai mekanik itu ditahan kira-kira jam 2 pagi. Pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Aidil, 21, mendakwa Yamaha 135LC tersebut merupakan milik pelanggan. 

“Motosikal ini sudah diubahsuai ekzos, brek belakang serta enjin dengan modal kira-kira RM7,000 dan boleh capai kelajuan hingga 200kmj.

“Saya datang seorang ke Kuala Lumpur ini untuk ‘test’ motosikal. Saya reda ditahan, saya sudah hubungi pemiliknya untuk jelaskan kes ini,” katanya.

TUMPUAN UJI KELAJUAN

Sementara itu, Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintenden Zulkafli Chek Lah berkata, sebanyak enam sekatan jalan raya dilakukan dalam operasi itu di lokasi tumpuan utama iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Sultan Azlan Shah.

Menurutnya, lokasi berkenaan menjadi tumpuan penunggang untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing.

“Kita juga mendapat aduan daripada penduduk sekitar di sini bahawa bunyi bising terutama berhampiran Institut Jantung Negara (IJN) dan sekitarnya,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu bertindak menyita 247 motosikal dan 628 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya cermin sisi, ubah suai ekzos dan modifikasi brek.

Jelasnya, siasatan awal polis percaya penunggang-penunggang terdiri daripada kumpulan kecil ini datang dari dalam dan luar Kuala Lumpur terutama sekitar Lembah Klang.

“Mereka akan berkumpul di sekitar lokasi ini dan membuat bising,” ujarnya.

Mengenai tindakan penunggang yang melawan arus, Zukafli berkata, pihaknya akan mengesan penunggang terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk tindakan mahkamah.

“Sebelum ini kita kesan mereka berkumpul seawal jam 10 malam hingga 2 pagi, namun menyedari tindakan pihak polis, kumpulan ini aktif pada jam 3 pagi,” katanya.

Ujar beliau, pada tahun ini di tiga lokasi tersebut sahaja, sebanyak 665 motosikal disita dan 23,081 saman dikeluarkan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here