Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden memberi tamparan hebat kepada China dengan mengumumkan kenaikan tarif yang mendadak ke atas produk import negara itu, lapor Reuters.
Antara produk yang terjejas dengan kenaikan itu termasuklah kenderaan elektrik (EV), bateri EV, cip komputer, sel solar, keluli, aluminium dan barangan perubatan.
“Warga kerja Amerika boleh mengatasi sesiapa sahaja asalkan persaingan itu adil, tetapi sudah terlalu lama ia tidak adil. Kami tidak akan biarkan China membanjiri pasaran kami,” kata Biden menerusi ucapan di White House.
Menurut The Guardian, kadar tarif EV akan meningkat dari 25 kepada 100 peratus; manakala levi dinaikkan dari 7.5 peratus kepada 25 peratus (bateri litium), dari kosong kepada 25 peratus (mineral kritikal), dan dari 25 peratus kepada 50 pertaus (sel solar dan semikonduktor).
Tarif ke atas keluli, aluminium dan peralatan perlindungan diri yang antara kosong hingga 7.5 peratus, akan meningkat kepada 25 peratus.
LINDUNGI PENGELUAR AMERIKA
Kenaikan tarif ini boleh dilihat sebagai satu langkah yang diambil untuk melindungi pengeluar di Amerika dari produk import China yang lebih murah.
Walaupun menghadapi risiko tindakan balas daripada Beijing, Biden berkata ia adalah tindakan yang signifikan terhadap lebihan kapasiti China dalam sektor EV.
Sumber berkata China mengeluarkan 30 juta unit EV setahun tetapi hanya dapat menjual 22 hingga 23 juta unit EV dalam pasaran lokalnya.
Bagaimanapun, The New York Times melaporkan kadar tarif baharu itu tidak akan memberikan impak besar kepada pengguna dan pasaran kereta Amerika memandangkan tidak banyak EV China yang diimport ke negara itu.
Salah satunya adalah Polestar 2 yang dipasang di kilang Luqiao CMA Super Factory di Luqiao, Zhejiang, China.
Dalam pada itu, China berkata Beijing akan bertindak balas terhadap kenaikan tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Biden dan akan mengambil langkah untuk mempertahankan kepentingannya.