Rakyat negara ini hanya pandu Chevy, ini sebab mereka tiada pilihan lain…

4585
“Aku baru saja tiba di negara yang mana semuanya menggunakan kereta Chevrolet…Ok lihat, ini Chevrolet…Chevrolet dan ini juga Chevrolet dan apa semua ini.”
 
“Apa kereta kamu?.
“Tentu saja Chevrolet.
“Kenapa Chevrolet…
“Kerana aku tak punya pilihan lain!
 
Ini soalan yang diajukan Nas Daily menerusi video ‘Mengapa Semua Mobilnya Chevrolet?’ di akaun Facebook miliknya.
 

Mengapa rakyat di negara tersebut tidak memilih jenama lain dan apa istimewanya dengan produk asal negara Uncle Sam itu?. 

Negara yang kami maksudkan ialah Uzbekistan. Uzbekistan merdeka daripada Kesatuan Soviet pada 1991 dan setahun kemudian mereka memulakan projek kilang kereta bernilai AS600 juta (RM2.5 bilion) yang terbesar di benua Asia Tengah.



Kilang itu dimiliki oleh kerajaan bersama syarikat Korea, Daewoo dan pengeluaran kereta pertama pada 1996. Kemudian, pada 2008 Daewoo menjual saham mereka kepada General Motors dan bermulalah era Chevy di negara tersebut.

Tiga tahun kemudian 94 peratus kereta yang dijual di negara berkenaan adalah Chevrolet maka tidak hairanlah jenama tersebut memonopoli pasaran dan jalan raya. 

DILINDUNGI KERAJAAN 

Bagaimana situasi sedemikian terjadi?. Ini kerana pasaran dalaman GM dilindungi oleh kerajaan Uzbekistan. 

Selain itu, kerajaan juga menetapkan cukai lebih tinggi bagi kenderaan jenama lain sehingga menyukarkan pemilikan. Kerana polisi itu rakyat hanya mampu membeli Chevrolet. 

Bahkan kereta terpakai yang dipasang luar dari Uzbekistan juga dikenakan tarif import  tinggi yang bergantung kepada usia, saiz enjin dan lain-lain. Sehinggakan duti kastam boleh menjangkau dua kali ganda harga sebenar kereta. 

Untuk rekod, Uzbekistan mungkin satu-satunya negara di dunia yang mana harga kenderaan terpakai lebih tinggi berbanding kereta baharu.

HARGA EKSPORT LEBIH MURAH BERBANDING JUALAN TEMPATAN

Kerana monopoli itu juga pelanggan tidak ada pilihan dengan membayar lebih bahkan tanpa persaingan harga Chevy semakin meningkat. 

Antara 2012 sehingga 2013 harga Chevrolet Nexia meningkat lebih 24 peratus iaitu sekitar  AS17,000 (RM70,859). Tanda harga itu juga menyukarkan rakyat dengan gaji purata AS200 (RM833) sebulan memiliki sebuah kereta. 

Lebih menyakitkan, harga kereta yang dieksport jauh lebih murah berbanding yang dijual dalam negara. 

Harga kereta tersebut di Uzbekistan pada tahun itu adalah AS14,000 (RM58,354), namun setelah dieksport ke Belarus, harganya cuma AS8,000 (RM33,345).

Bagaimanapun, kerana tiada pilihan rakyat Uzbekistan tetap membeli Chevy walaupun seharusnya model pemasangan tempatan (CKD) dijual pada harga lebih murah. 

Selain itu, ramai pelanggan yang menempah Chevrolet mengeluh kerana tempoh menunggu yang panjang. Terdapat dakwaan sekiranya mahu cepat mendapatkan kereta, mereka perlu membayar rasuah dikenali sebagai shapka. 

“Saya pernah menempah sebuah Chevrolet Cobalt pada harga AS20,000 (RM83,364). Saya terpaksa membayar lebih AS2,000 (RM8,336) secara tunai kepada penjual untuk mendapatkan kereta dengan cepat,” dakwa Jakhongir. 

LIBERALISASI PRESIDEN BAHARU

Bagaimanapun era monopoli itu nampaknya dapat dihapuskan apabila Presiden baharu, Shavkat Mirziyoyev mengambil alih kuasa pemerintahan selepas kematian Islam Karimov.

Beliau memulakan proses liberalisasi besar-besaran digelar The Uzbek Thaw. Dua tahun kemudian, GM menjual sahamnya di kilang tempatan kepada kerajaan.

Kilang itu masih menggunakan jenama dan teknologi Chevrolet melalui perjanjian khas. Antara perubahan yang dilakukan Shavkat adalah menghapuskan cukai eksais ke atas kenderaan import dan perdagangan serta pertanian pada Ogos tahun lalu.

Ini memberi sinar baharu dan membuka ruang kepada rakyat Uzbekistan untuk membeli kenderaan jenama lain.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here