
Pengguna lebuh raya PLUS, terutamanya di sekitar Lembah Klang, mungkin mengesan perubahan kecil pada papan tanda di beberapa lorong pembayaran.
Di bahagian bawah papan tanda tersebut, terdapat bulatan merah yang membezakannya daripada lorong pembayaran yang lain. Apakah maksud tanda itu?..
Motoqar difahamkan, lorong-lorong ini merupakan laluan khas bagi ujian dalaman sistem Kutipan Tol Tanpa Palang (MLFF) yang sedang giat dijalankan oleh PLUS Malaysia Berhad.
Ujian MLFF PLUS: PROGRES & CABARAN
PLUS telah memulakan ujian MLFF sejak September tahun lalu. Hasilnya sangat memberangsangkan dengan lebih 4,000 transaksi berjaya direkodkan di 13 lorong tanpa sebarang isu teknikal yang besar.
Setelah fasa awal yang berjaya, PLUS kemudian meluaskan skala ujian ke bahagian utara Semenanjung. Langkah ini bertujuan untuk menguji keberkesanan sistem dalam pelbagai keadaan trafik sebenar, termasuk cabaran kepadatan kenderaan.
Menurut sumber industri, tiada isu besar dilaporkan sepanjang fasa ujian awal ini. Namun, beberapa penambahbaikan berterusan tetap dilakukan bagi mengukuhkan lagi kebolehpercayaan sistem sebelum ia diperkenalkan kepada umum.
Setakat ini, sekitar 13 lorong dengan tanda bulatan merah dijalankan di sembilan plaza tol PLUS, termasuk di Hutan Kampung-Sungai Dua, Damansara, Subang, dan Jalan Duta.
KEKUATAN PEMBANGUNAN DALAMAN MLFF PLUS
Bagaimana pula dengan teknologi di sebalik inisiatif ini?
PLUS mempunyai kelebihan besar melalui anak syarikat milik penuhnya, Teras Teknologi Sdn Bhd (TERAS). Syarikat ini merupakan penyedia utama sistem Kutipan Tol Elektronik (ETC) untuk kebanyakan syarikat konsesi di Malaysia.
Dengan pengetahuan dan kepakaran TERAS dalam teknologi seperti Pengesanan Frekuensi Radio (RFID) dan Pengesanan Nombor Plat Automatik (ANPR), serta pengalaman mengintegrasikan sistem RFID, Touch ‘n Go dan SmartTAG, PLUS mempunyai keupayaan untuk menerajui pelaksanaan MLFF secara sendiri.
Konsesi lebuh raya itu dipercayai memanfaatkan sepenuhnya kepakaran dalaman dan gabungan teknologi OEM sedia ada dalam pembangunan MLFF.
Motoqar juga dimaklumkan bahawa sebagai langkah proaktif, PLUS telah memasang kamera tambahan dari sudut atas di empat lorong ujian.
Ini bertujuan untuk meningkatkan kadar pengesanan dalam pelbagai keadaan trafik, termasuk pada waktu puncak. Data awal menunjukkan prestasi sistem kekal memuaskan walaupun dalam keadaan trafik padat.
Penting untuk diingat, MLFF di peringkat awal pelaksanaannya masih akan menggunakan palang tol. Peralihan kepada sistem bebas palang sepenuhnya akan dilakukan secara bertahap.
BILAKAH PELAKSANAAN?
Berdasarkan jejak digital, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan pelaksanaan MLFF akan bermula secara berperingkat seawal penghujung 2025.
Sementara itu, menurut sumber, PLUS sudah melengkapkan ujian dalaman MLFF dan menunggu lampu hijau daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk fasa ujian awam.
PENOLAKKAN SYARIKAT KONSESI
Menurut The Edge, MLFF menjadi isu perdebatan antara kerajaan dan syarikat konsesi tahun lalu susulan berita usahasama antara Konsortium Jaringan Selangor Sdn Bhd (KJS) dan SEP Synergy (M) Sdn Bhd bagi pelaksanaan MLFF.
Usahasama KJS-SEP ini wujud susulan permintaan cadangan daripada kerajaan pada tahun 2021 untuk melaksanakan sistem MLFF bagi mengurangkan kesesakan di pondok tol.
Cadangan KJS-SEP melibatkan LLM adalah menubuhkan sebuah kenderaan tujuan khas (SPV) bernama Agensi Kutipan Tol Berpusat (CTA). CTA akan bertanggungjawab mengutip tol setiap hari, dan syarikat konsesi akan menerima bayaran sehari kemudian.
Peranan KJS-SEP adalah menyediakan sistem dan membina infrastruktur MLFF, dengan kutipan disalurkan terus kepada CTA. Sebagai balasan, mereka akan menerima yuran kira-kira RM650 juta setahun untuk kos penyediaan dan operasi sistem MLFF.
Hujah usahasama ini adalah kos operasi mereka lebih rendah berbanding purata RM850 juta yang ditanggung oleh syarikat konsesi tol setiap tahun untuk menyelenggara plaza tol dan sistem kutipan sedia ada.
Di bawah cadangan ini, penjimatan kos sebanyak RM200 juta akan disalurkan kepada kerajaan melalui LLM. Jumlah ini boleh digunakan untuk subsidi pampasan tol tahunan yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi.
Sejak 2008, kerajaan tidak membenarkan syarikat konsesi lebuh raya menaikkan kadar tol. Sebagai pampasan, kerajaan membayar balik kehilangan hasil kepada syarikat konsesi. Kadangkala, tempoh konsesi tol dilanjutkan sebagai ganti pembayaran pampasan tunai.
Syarikat konsesi memerlukan pampasan kerana lebuh raya dibiayai oleh hutang, yang perlu dibayar balik melalui kutipan tol. Struktur hutang ini biasanya mengambil kira kenaikan kadar tol yang dijadualkan.
Jika kenaikan kadar tol tidak dibenarkan, ia akan memberi kesan langsung kepada aliran tunai syarikat konsesi dan seterusnya hutang mereka.
Syarikat konsesi lebuh raya, sebagai tindak balas kepada cadangan KJS-SEP, mendakwa mereka tidak diberitahu mengenai niat kerajaan untuk melantik pihak luar bagi melaksanakan MLFF menjelang 2024.
Hujah utama adalah sekiranya kerajaan ingin melaksanakan cadangan tersebut, proses itu seharusnya diuruskan oleh syarikat konsesi sendiri, dan bukannya oleh LLM atau mana-mana pihak ketiga.