
Awal bulan ini, Motoqar melaporkan sebuah kapal kargo yang membawa lebih 3,000 kenderaan termasuk ratusan model elektrik (EV) dan hibrid terbakar di Lautan Pasifik pada 3 Jun.
Berita terkini, Kapal Morning Midas tersebut dilaporkan karam di Lautan Pasifik Utara beberapa minggu selepas anak kapal meninggalkan kapal setelah gagal memadamkan kebakaran.
Syarikat pengurusan kapal, Zodiac Maritime menyatakan kapal kargo yang sedang menghantar kenderaan baharu ke Mexico itu karam Isnin lalu di perairan antarabangsa berhampiran gugusan Pulau Aleutian, Alaska.
“Tidak kelihatan pencemaran, buat masa ini kami mempunyai kapal-kapal di lokasi untuk bertindak balas terhadap sebarang pencemaran,” kata Pegawai Muda Cameron Snell, jurucakap Pengawal Pantai Amerika yang berpangkalan di Alaska.
Kerosakan akibat kebakaran semakin teruk akibat cuaca buruk dan rembesan air menyebabkan kapal kargo itu karam di perairan sedalam kira-kira 16,404 kaki sekitar kira-770 km dari daratan, menurut kenyataan itu.
Pasukan kru penyelamat tiba beberapa hari selepas kebakaran dan dua kapal tunda penyelamat yang membawa peralatan kawalan pencemaran akan kekal di lokasi untuk memantau sebarang tanda pencemaran atau serpihan, kata pihak syarikat.
Zodiac Maritime berkata turut menghantar sebuah lagi kapal tindak balas pencemaran khusus ke lokasi tersebut sebagai langkah berjaga-jaga tambahan.
Pengawal Pantai berkata ia menerima isyarat kecemasan pada 3 Jun mengenai kebakaran di atas kapal Morning Midas, yang ketika itu berada kira-kira 490km barat daya Pulau Adak.
Terdapat 22 anak kapal di atas Morning Midas. Semua berjaya berpindah ke sebuah bot dan diselamatkan oleh kapal dagang berhampiran. Tiada kecederaan dilaporkan.
Antara kereta yang dibawa adalah kira-kira 70 buah EV dan kira-kira 680 model hibrid. Asap tebal pada mulanya dilihat di bahagian belakang kapal yang datang dari dek yang dimuatkan dengan EV.
Morning Midas sepanjang 183 meter dibina pada tahun 2006 dan berlayar di bawah bendera Liberia. Kapal pengangkut kereta dan trak itu bertolak dari Yantai, China, pada 26 Mei lalu menuju ke Mexico.