EXCO : Projek gerbang tol kurangkan kesesakan di Kong Kong

13

Projek pembinaan struktur gerbang tol yang dijangka siap pada 15 Disember ini bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Kong Kong dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kemajuan projek telah mencapai 20.43 peratus dan mendahului jadual asal.

Beliau berkata pembinaan struktur tol gantri itu merupakan penyelesaian kepada isu pertikaian berhubung penggunaan jejambat yang siap dibina sejak 2021.

“Jejambat yang dibina oleh Meridin East Sdn Bhd ini menghubungkan kawasan Kong Kong ke Lebuhraya SDE dan bertujuan menyuraikan trafik dari kawasan perumahan ke kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat.

“Ia menelan kos RM53 juta dan dapat menjimatkan masa perjalanan dari Jalan J10 yang selama ini berdepan kesesakan teruk terutamanya pada waktu puncak,” katanya ketika melawat tapak projek pembinaan gerbang tol berhampiran Plaza Tol Cahaya Baru pada Rabu.

Sebelum ini, pengguna dari Jalan J10 ke Tanjung Langsat atau Pasir Gudang perlu melalui Plaza Tol Cahaya Baru, kemudian membuat pusingan U di Plaza Tol Tiram sebelum kembali semula ke Cahaya Baru
 

“Ada juga pengguna yang sanggup membuat pusingan U di lokasi yang tidak selamat kerana ingin mengelak bayaran dan jarak jauh, tetapi ini membahayakan nyawa dan keselamatan pengguna lain,” katanya.

Jelas beliau, dengan pembukaan jejambat itu kelak, pengguna dari Kong Kong boleh terus memasuki Lebuhraya SDE menuju ke kawasan perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat, dengan jarak perjalanan hanya sekitar 7km sahaja.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here