
Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mendedahkan senarai syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang merekodkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 333, Akta 334 dan Akta 715.
Pihak MOT dan JPJ telah mengenalpasti 11 syarikat pengendali kenderaan barangan yang mempunyai lebih 1,000 saman tertunggak serta 17 syarikat pengendali bas ekspres yang mempunyai lebih 200 saman tertunggak.
KDEB Waste Management Sdn Bhd tersenarai sebagai syarikat pengendali kenderaan barangan yang merekodkan jumlah saman tertinggi dengan 2,017 saman aktif diikuti Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108) dan Advancecon Machinery Sdn Bhd (3,620).
Manakala syarikat pengendali bas ekspres, Cepat Ekspres Sdn Bhd merekodkan saman tertinggi sebanyak 512 diikuti New Hoover Express & Travels Sdn Bhd (512) dan Kuala Lumpur-Alor Star Express Sdn Bhd (477).
Berdasarkan kepada statistik tersebut, pihak syarikat telah melakukan kesalahan antaranya lebih muatan, tiada lesen memandu, kesalahan teknikal dan memandu melebihi had laju.
Kesemua syarikat yang itu diberi tempoh 14 hari dari tarikh pengumuman untuk menyelesaikan semua saman yang tertunggak di mana-mana Pejabat JPJ Negeri/Cawangan.
“Kegagalan pihak syarikat berbuat demikian akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas termasuk kenderaan tersebut disenarai hitam secara serta-merta.
“Pihak MOT dan JPJ juga ingin mengingatkan kepada semua syarikat pengendali kenderaan untuk menyemak dan menyelesaikan saman-saman yang tertunggak,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan.