
Hyundai Motor Europe memperkenalkan IONIQ 3, sebuah model hatchback kompak elektrik yang direka untuk memenuhi keperluan mobiliti harian di pasaran Eropah.
Model terbaharu dalam siri IONIQ ini memfokuskan kepada penggunaan teknologi yang intuitif serta keselesaan ruang dalaman bagi kegunaan harian.
Adakah model kompak ini jawapan Hyundai bagi menyaingi lambakan EV dari China menerusi penawaran harga yang berdaya saing?
Hyundai sebelum ini menawarkan EV kecil Inster / Casper Electric dan sudah memasuki pasaran Australia, Eropah, Jepun dan Taiwan.
Reka Bentuk Aero Hatch dan Falsafah Art of Steel
IONIQ 3 memperkenalkan tipologi reka bentuk baharu yang dikenali sebagai Aero Hatch dan membawa falsafah reka bentuk terbaru Hyundai iaitu Art of Steel.
Rekaan ini mengutamakan keseimbangan antara kecekapan aerodinamik dan keluasan ruang kabin.
IONIQ 3 mempunyai bahagian hadapan rendah dan lancar yang kemudiannya beralih kepada garis bumbung lurus di atas ruang penumpang sebelum turun ke bahagian spoiler belakang.
Reka bentuk begitu mengingatkan kepada Nissan Leaf baharu.
Permukaan badan dikurangkan kepada beberapa bentuk yang sengaja diolah bagi memberikan impak visual yang kuat dan tepat.
Identiti siri IONIQ diperkukuhkan lagi melalui penggunaan lampu piksel serta empat titik di tengah yang melambangkan huruf H dalam kod Morse.
Kecekapan aerodinamik mencatatkan pekali seretan sasaran sekitar 0.263.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi Elektrik
IONIQ 3 dibina di atas Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai Motor Group yang menggunakan seni bina elektrik 400 volt.
Terdapat dua pilihan bateri yang ditawarkan iaitu Standard Range dan Long Range.
Varian Standard Range dilengkapi bateri berkapasiti 42.2 kWj manakala varian Long Range pula menggunakan bateri 61 kWj.
Dari segi prestasi motor elektrik pacuan roda hadapan mampu menghasilkan kuasa 107.8 kW (147 ps) atau 99.5 kW (135 ps) dengan tork maksimum mencecah 250 Nm.
Kelajuan maksimum bagi IONIQ 3 adalah 170 km/j dengan pecutan 0 ke 100 km/j dicapai dalam masa 9.0 saat bagi model Standard dan 9.6 saat bagi model Long Range.
Jarak pemanduan berdasarkan kitaran WLTP dianggarkan sejauh 344 km untuk varian Standard Range dan 496 km untuk varian Long Range.
Sistem pengecasan pantas DC membolehkan tahap bateri ditingkatkan dari 10 peratus ke 80 peratus dalam tempoh kira-kira 29 minit.
Pengecasan AC pula menyokong sehingga 22 kW.
Ruang Dalaman Furnished Space dan Teknologi Pleos Connect
Ruang kabin IONIQ 3 menggunakan pendekatan Furnished Space di mana susun atur komponen direka seperti susunan perabot.
Walaupun bersaiz kompak penggunaan lantai rata dan jarak roda yang panjang membolehkan ruang kaki dan ruang kepala menjadi lebih luas.
Ruang belakang mampu memuatkan tiga orang dewasa dengan selesa.
IONIQ 3 menjadi model Hyundai pertama di Eropah yang dilengkapi dengan sistem maklumat hibur Pleos Connect berasaskan Android Automotive OS (AAOS).
Sistem ini ditawarkan dengan pilihan skrin bersaiz 12.9 inci atau 14.6 inci.
Ciri teknologi lain termasuk Hyundai Digital Key 2 yang membolehkan akses tanpa kunci melalui telefon pintar serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk kegunaan peranti elektrik.
Kargo direka dengan ruang 441 liter yang merangkumi 322 liter ruang but utama dan tambahan 119 liter di bawah lantai but yang dikenali sebagai Megabox.
Bergantung kepada spesifikasi Hyundai menawarkan Relaxation Seats, sistem bunyi BOSE Premium Sound System dan penggunaan tekstil kitar semula serta berasaskan bio.
Ciri Keselamatan Hyundai SmartSense
Bagi aspek keselamatan, IONIQ 3 dilengkapi sistem bantuan Hyundai SmartSense dengan fungsi Highway Driving Assist 2 (HDA2) dan Remote Smart Parking Assist (RSPA).
Sistem tersebut turut merangkumi Memory Reverse Assist (MRA), Surround View Monitor (SVM) dan Blind-Spot View Monitor (BVM).
EV ini juga dilengkapi tujuh beg udara secara standard serta lampu hadapan LED jenis projektor dengan Intelligent Front-Lighting System (IFS).
Pengeluaran dan Pilihan Warna
IONIQ 3 direka di Eropah dan akan dipasang di kilang Izmit milik Hyundai Motor Turkiye.
Pelanggan boleh memilih daripada sebelas warna luaran seperti Atlas White Solid, Phantom Black Pearl, Lumen Gray Pearl dan Aurora Gray Pearl.
Turut ditawarkan Vibrant Blue Pearl, Ice Blue Pearl, Fierce Red Solid dan Fierce Red Matte.
Ruang dalaman pula ditawarkan dalam tema warna Black Beige / Gray Blue / Gray serta riasan merah khusus untuk varian N Line.
Pilihan rim tersedia dari saiz 16 inci sehingga 19 inci.
Spesifikasi Teknikal IONIQ 3 2026 Eropah
- Kapasiti bateri 42.2 kWj (Standard) / 61 kWj (Long range)
- Jarak pemanduan WLTP 344 km (Standard) / 496 km (Long)
- Output motor 107.8 kW (147 ps) / 99.5 kW (135 ps)
- Tork maksimum 250 Nm
- Pecutan 0 ke 100 km/j 9.0 saat (Standard) / 9.6 saat (Long)
- Kelajuan maksimum 170 km/j
- Pengecasan pantas DC 10 ke 80 peratus dalam masa 29 minit (Standard) / 30 minit (Long)
- Pengecasan AC 11 kW (Standard) / 22 kW (Pilihan)
- Panjang 4,155 mm (Base) / 4,170 mm (N Line), Lebar 1,800 mm dan Tinggi 1,505 mm.
- Jarak roda 2,680 mm
- Pekali seretan 0.263
- Saiz tayar 205/65 R16, 215/55 R17, 215/50 R18, 225/45 R19
- Kapasiti ruang but 441 liter
- Berat 1,550 ke 1,580 kg








































