BMW i8 Terbabas Akibat Mengelak Binatang

3418

Akibat mengelak binatang melintas, dua individu berdepan detik cemas selepas BMW i8 dinaiki terbabas di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit, Gua Musang, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 7.30 malam itu, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan.



Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian, kereta dipercayai milik seorang bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

“Sebaik sampai di lokasi, pemandunya dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang melintas lalu terbabas ke dalam longkang.

“Ia menyebabkan kereta itu rosak teruk dengan cermin hadapannya pecah” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan keadaan permukaan jalan agak licin.

Mohd Taufik berkata, pemandu kereta itu membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang sejurus selepas kemalangan.

Katanya, kereta mewah itu masih berada di IPD untuk siasatan lanjut.

BMW I8 adalah kereta berprestasi tinggi alaf baharu yang menggabungkan teknologi pacuan terkini jenis hibrid.

Ia menggunakan enjin petrol yang digunakan mempunyai sesaran 1,499cc, 3-silinder, tetapi mendapat pendorongan tambahan daripada sebuah elektrik motor. 

Ouput enjin petrol dinaikkan kepada 231hp dan kesemuanya pergi ke roda belakang. Motor elektrik yang menghasilkan 131hp pula pergi ke roda hadapan, memberikan pacuan semua roda bila perlu.

Bateri litium-ion yang menyimpan cas untuk motor elektrik ini boleh dicas menggunakan soket elektrik biasa di rumah. Output keseluruhan berjumlah 362hp dengan tork sebanyak 570Nm.

Sistem hibrid yang dibangunkan BMW ini sendiri dikatakan mampu untuk memacu i8 ini sehingga jarak 37km pada kelajuan maksimum 120km/j hanya dengan kuasa elektrik. 0-100km/j mengambil masa 4.4 saat dengan kadar penggunaan petrol yang mengkagumkan: 2.1 liter untuk setiap 100km.

BMW i8 yang dijual oleh BMW Group Malaysia sebelum ini dijual pada harga berharga RM1,188,000 (harga atas jalan tanpa insurans).

Sumber: Harian Metro  

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here