Kes curi di Litar Antarabangsa Sepang selesai – Inilah yang buat malu nama Malaysia!

5062

Polis berjaya merampas 42 komponen dan aksesori motosikal bernilai lebih RM75,000 dalam beberapa siri serbuan di sekitar Sepang dan Bangi, sekali gus menahan enam lelaki warga tempatan.

Laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, komponen dan aksesori motosikal yang dirampas itu milik pasukan yang beraksi pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia pada November lalu.

“Beberapa siri tangkapan dan rampasan dibuat antara 3 November hingga 12 Disember lalu yang mana kita berjaya menahan enam lelaki warga tempatan berusia lingkungan 23 tahun serta merampas barangan dan aksesori motosikal.



“Antara barang dirampas ialah empat beg pelbagai jenama, 26 unit brek pelbagai jenis, tujuh unit spanar, tiga batang demper, dua ‘handle grip’ dua set pemanas tayar, dua helai jaket hitam berjenama, 14 unit skru, enam botol minyak brek dan beberapa barangan lain.

“Siasatan awal mendapati seorang suspek mempunyai bengkel motosikal dan difahamkan menjual barang curi berkenaan kepada peminat motosikal untuk diubah suai,” katanya pada sidang media di Bangunan Pentadbiran AMC KLIA, di Sepang hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, satu komponen aksesori itu ada yang dijual dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

“Sebagai contoh ‘brake caliper’ dijual dengan harga RM600 bagi setiap unit walaupun harga sebenarnya mencecah RM1,000.

“Barang ini memang mahal kerana ia adalah buatan luar negara. Difahamkan ada juga di antara barang curi ini sudah digunakan pada motosikal suspek,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, daripada enam suspek yang ditahan, dua daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau seperti jenayah curi motosikal.

“Ada di antara suspek yang ditahan ialah pekerja sambilan sempena MotoGP 2019 dan mempunyai pas untuk masuk ke kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC),” katanya.

Pada 2 November lalu, polis menerima laporan daripada Bahagian Keselamatan SIC berhubung kes kecurian berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali sebelum ini dilaporkan berkata, kejadian awal pagi pada 1 November itu membabitkan antara lima dan enam pasukan yang kehilangan komponen jentera Moto3 dan Moto2 dengan pasukan Angel Nieto paling terkesan.

Susulan itu, tiga pekerja syarikat keselamatan berusia antara 20 hingga 30 tahun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA pada 3 November lalu serta ditahan selepas disoal siasat bagi membantu siasatan seterusnya dibebaskan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here