Utama Berita Automotif Volvo anjur ‘Selamat Driving Experience’ di Litar Antarabangsa Sepang

Volvo anjur ‘Selamat Driving Experience’ di Litar Antarabangsa Sepang

4

Volvo Car Malaysia melancarkan program ‘Selamat Driving Experience’, yang bakal berlangsung pada 16 hingga 17 Mei 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen ‘Selamat’ yang dilancarkan pada awal tahun ini, dengan matlamat menjadikan keselamatan sebagai satu budaya bersama, bukan sekadar ciri tambahan dalam sesebuah kenderaan.

Volvo Car Malaysia melalui kenyataan berkata, ramai pengguna jalan raya cenderung memberi perhatian kepada aspek seperti warna atau sistem infotainmen ketika membeli kereta, berbanding ciri keselamatan.

Dengan program ini, syarikat berkenaan mahu mengubah persepsi dengan menekankan keselamatan menjadi keutamaan mutlak setiap pemandu.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata, setiap hari terdapat laporan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa, namun ramai bersikap sambil lewa terhadap isu ini.

Katanya, di sebalik statistik itu, terdapat kisah kehilangan, trauma serta kesan emosi mendalam kepada mangsa dan keluarga terlibat.

Berdasarkan data direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 4,428 kematian akibat kemalangan jalan raya dilaporkan tahun 2024.

Daripada jumlah itu, 2,574 daripadanya membabitkan individu berusia antara 15 hingga 40 tahun, sekali gus menunjukkan golongan produktif negara paling terkesan.

Selamat Driving Experience’ direka sebagai pengalaman interaktif yang memberi peluang kepada peserta merasai sendiri situasi kritikal di jalan raya dalam persekitaran selamat dan terkawal.

Melalui simulasi pemanduan imersif, peserta didedahkan kepada senario sebenar yang boleh berlaku dalam sekelip mata, termasuk insiden berpotensi dielakkan jika pemandu lebih peka terhadap keselamatan.

Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mencuba teknologi keselamatan terkini Volvo, termasuk Safe Space Technology menggunakan data dunia sebenar serta kecerdasan buatan (AI) untuk meramal dan mencegah risiko sebelum ia berlaku.

Acara ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dan dibuka kepada orang ramai tanpa mengira jenis kenderaan digunakan.

Penyertaan bagaimanapun terhad kepada 192 peserta sahaja. Yuran pendaftaran ditetapkan seperti berikut:

  • RM300 untuk bukan pemilik Volvo
  • RM150 untuk pemilik Volvo
  • RM100 untuk tetamu tanpa sesi pemanduan

Peserta akan dibimbing tenaga pengajar profesional dalam suasana litar yang selamat, bagi memastikan setiap pengalaman yang dilalui benar-benar memberi impak terhadap kesedaran pemanduan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here