
Audi Q5 generasi ketiga secara rasmi diperkenalkan PHS Automotive Malaysia (PHSAM) untuk pasaran tempatan dengan dua varian untuk dipilih, Q5 Advanced dan Q5 Sportback S Line.
Varian itu didatangkan dengan pendekatan berbeza, namun berkongsi matlamat sama untuk memberi pengalaman pemanduan mengagumkan dalam setiap situasi.
Pengarah Urusan PHSAM, Renate Noessler berkata, pelancaran Audi Q5 mencerminkan visi kemajuan Audi dalam menggabungkan reka bentuk, prestasi dan teknologi terkini.

Audi Q5 baharu mengekalkan identitinya sebagai SUV serba boleh sporty, diperkukuh dengan reka bentuk lebih moden.
Ia dibina berasaskan pelantar Premium Platform Combustion yang dioptimumkan untuk prestasi enjin pembakaran dalaman dengan pendekatan lebih mampan.
Q5 Advanced tampil dengan gaya elegan melalui garisan badan kemas, rim 19 inci rekaan aero serta kemasan jeriji khas yang menyerlahkan imej premium.

Untuk Q5 Sportback S line pula, ia menawarkan siluet coupé lebih agresif dengan bumbung melandai, rim 20 inci Audi Sport serta elemen S line lebih sporty.
Dua varian ini dilengkapi lampu utama Matrix LED dengan keupayaan pencahayaan adaptif lebih tepat tanpa menyilaukan pengguna jalan raya lain.
Ia disokong Digital Light Signatures dan animasi Coming/Leaving Home.

Untuk Sportback S line, ia dilengkapi Next Generation Projection Brake Light bagi memberikan amaran visual kepada kenderaan di belakang semasa membrek.
Kedua-dua model ini berkongsi enjin 2.0 liter TFSI yang sama, dengan talaan berbeza. Varian Q5 Advanced dengan output sebanyak 199PS, manakala varian Q5 Sportback S line dengan output sehingga 272PS.
Kuasa disalurkan melalui transmisi 7-kelajuan S tronic, manakala sistem pacuan semua roda quattro memastikan cengkaman optimum dalam pelbagai keadaan.
Sistem Audi Drive Select pula membolehkan pemandu menyesuaikan karakter pemanduan mengikut keperluan.
Ruang kabin Audi Q5 baharu menampilkan paparan panorama OLED MMI 14.5 inci, Audi Virtual Cockpit Plus 11.9 inci, kawalan sentuhan dengan maklum balas haptik, integrasi navigasi dengan peta satelit dan trafik masa nyata.

Juga dipasang untuk model generasi ketiga ini adalah Audi Assistant berasaskan AI dengan sokongan ChatGPT, yang membolehkan kawalan suara lebih semula jadi dan pintar.
Varian Sportback S line ditambah dengan elemen sporty melalui kemasan Carbon Micro Twill, tempat duduk sport dan fungsi ventilasi, manakala sistem audio Bang & Olufsen 3D memberikan pengalaman bunyi premium.
Audi Q5 baharu masih mengekalkan praktikaliti untuk kegunaan harian dengan kapasiti ruang kargo 520L (hingga 1,473L) untuk varian Q5 Advanced, manakala varian Q5 Sportback mempunyai kapasiti ruang kargo 515L (hingga 1,415L).
Model ini dilengkapi beberapa ciri lain seperti but tanpa sentuhan, penyaman udara 3-zon dan ruang kabin luas, menjadikannya sangat sesuai untuk keluarga dan perjalanan jarak jauh.
Audi Q5 baharu dilengkapi pakej ADAS komprehensif, yang merangkumi:
- Audi Pre Sense
- Kawalan Jelajah Adaptif
- Pemantau Titik Buta + Amaran Keluar
- Amaran Keluar Lorong
- Kamera 360°
- Pengesanan Penumpang Belakang

Setiap pembelian Audi Q5 baharu didatangkan dengan waranti 2 tahun tanpa had perbatuan, 5 tahun penyelenggaraan percuma dan 5 tahun bantuan tepi jalan.
Melalui Audi Assurance Package, waranti boleh dilanjutkan hingga 5 tahun atau 150,000 km, bersama manfaat tambahan servis dan bantuan kecemasan.
Berikut adalah harga Audi Q5 mengikut varian:
- Q5 Advanced – RM352,990
- Q5 Sportback S line – RM421,990



























