Pelumba Cub Prix negara, Muzakkir Muhammed positif Covid-19

1493

Muzakkir Muhammed, yang merupakan pelumba Cub Prix negara, difahamkan positif Covid-19 dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Muzakkir yang beraksi bersama Onexox TKKR SAG Team dalam kategori CP150 juga menyarankan mereka yang bertemunya sejak Khamis lalu supaya menjalani ujian swab.



“Dukacita saya hendak beritahu telah positif Covid-19. Pada kenalan yang ada berjumpa saya bermula Khamis minggu lalu tolong pergi buat swab test (ujian swab) untuk kebaikan anda sekeluarga.”

“Saya ingin memohon maaf jika ada salah silap dan terkasar bahasa selama ini. Semoga kembali sedia kala hendaknya. Amin,” tulis Muzakkir di Insta Story.

Sementara itu, pasukannya menerusi status di Facebook menyatakan Muzakkir dijangkiti wabak itu melalui rakan serumahnya yang bekerja di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsudin bagaimanapun mengesahkan Muzakkir berada dalam keadaan yang baik.

Muzakkir kini muncul pelumba terbaik pasukan itu bagi kelas CP150 apabila menduduki tangga keenam dengan meraih 38 mata selepas empat pusingan.

Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas ditunda bermula pusingan kelima yang sepatutnya berlangsung di Litar Utara Sepang dari 10 dan 11 Oktober lalu berikutan peningkatan kes Covid-19.

Pusingan keenam yang sepatutnya berlangsung dari 31 Oktober dan 1 November di Litar Sepang juga turut ditunda susulan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sehingga 9 November.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here