Pemantauan pelajar selepas waktu sekolah melalui khidmat MPV, URB – polis Kelantan

1701

Polis Kelantan akan membuat pemantauan terhadap pelajar sekolah melalui khidmat Unit Peronda Kereta (MPV) atau Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi walaupun selepas tamat waktu sekolah.

Pemantauan pelajar sekolah

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, pihaknya juga akan menggunakan khidmat Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di seluruh negeri untuk bekerjasama dengan pihak sekolah mengenai perkara berkenaan.



Katanya, pematuhan SOP ketika di dalam sekolah sudah memuaskan namun apa yang dibimbangkan ialah suasana selepas tamat waktu sekolah apabila dikhuatiri pelajar membuka pelitup muka atau berkumpul sesama mereka.

“Jadi, dengan adanya kehadiran polis di sekitar sekolah dapat memberi peringatan kepada mereka untuk terus patuh SOP, dan anggota bertugas akan memantau 10 minit sebelum dan 10 minit selepas waktu persekolahan sehingga keadaan dilihat lengang,” kata Shafien.

“Memandangkan di Kelantan terdapat sehingga 175 sekolah menengah dan pihak polis menghadapi kekangan, pelaksanaan tugasan khidmat MPV atau URB perlu diatur secara baik agar setiap sekolah dapat dikawal.

“Kita juga sudah sedia maklum, bahawa pihak sekolah hanya boleh menegur pelajar ketika waktu persekolahan. Selepas waktu sekolah biar polis yang bantu,” tambahnya.

Shafien juga menyatakan pihaknya tidak mengenakan kompaun sewenang-wenangnya terutama kepada pelajar, namun berharap dengan kehadiran anggota setiap kali selepas waktu sekolah boleh mengingatkan mereka untuk terus patuh SOP.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here