Ford F-150 Raptor – Raja trak pikap dengan harga mencecah RM900k di Malaysia

2262

Trak pikap telah berevolusi dari kenderaan kerja atau workhorse untuk syarikat kepada kenderaan gaya hidup atau lifestyle kegunaan peribadi.

Namun dalam banyak-banyak trak pikap di Malaysia, boleh dikatakan Ford F-150 Raptor ialah raja trak pikap. Jangan keliru antara model ini dengan Ford Ranger Raptor kerana kedua-duanya sangat berbeza.

Ford F-150 Raptor mula diperkenalkan dalam pasaran dunia pada 2010, dengan model generasi pertama dikuasakan enjin 5.4-liter V8 dengan 310hp dan 529Nm tork. Terdapat juga versi lebih berkuasa Super Duty yang mendapat enjin 6.2-liter V8, menghamburkan 411hp dan 588Nm tork.

Ford Ranger Raptor (kiri) dan Ford Ranger biasa. Imej: NZ Autocar

F-150 Raptor walaupun cukup garang, ia sebenarnya nampak lebih sederhana berbanding Ranger Raptor yang nampak lebih menyerlah.

Baru-baru ini tular Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang dilihat memandu uji sebuah Ford Ranger Raptor di sebuah bilik pameran yang difahamkan berada di Juru Autocity, Pulau Pinang.

Versi terkini F-150 Raptor mendapat powertrain baharu iaitu 3.5-liter EcoBoost turbo V6. Walaupun mempunyai kapasiti lebih kecil, enjin ini lebih berkuasa iaitu 450hp dan 691Nm tork. Transmisi juga baharu, iaitu automatik 10-kelajuan.

Sementara itu, adiknya yang lebih kecil iaitu Ford Ranger Raptor dikuasakan enjin 2.0-liter diesel bi-turbo yang menjana 213hp dan 500Nm tork, serta dipadankan dengan transmisi sama automatik 10-kelajuan.

Ford F-150 Raptor tidak dibawa masuk secara rasmi ke Malaysia, tetapi seperti dapat dijangka, tetap ada pengimport yang membawa masuk supertruck ini. Menurut iklan Malaysian Supercar ini, model F-150 Raptor tahun 2020 dengan perbatuan kira-kira 5,000km berharga sekitar RM900,000.

Jika dibandingkan harga kedua-dua Raptor ini, Ford Ranger jauh lebih mampu milik iaitu berharga RM208,000.

Sementara itu, terdapat satu pengedar yang membawa masuk ‘Ford F-150 Raptor’ secara rasmi, iaitu Hamawangsa Sutton CS3500 yang berharga RM781,000. Ini hampir empat kali ganda lebih mahal berbanding Ranger Raptor.

Barisan trak pikap ‘full-size’. Imej: USA Today

Mengapa harga F-150 Raptor ini begitu mahal? Pertamanya tentulah faktor saiz. Ford F-150 direka khas untuk pasaran Amerika Utara dimana pembeli di sana sukakan kenderaan besar. Pesaing Ford F-150 di sana termasuklah Chevrolet Silverado 1500, GMC Sierra 1500, Nissan Titan, Toyota Tundra, dan Dodge Ram 1500.

Malah di benua itu, trak-trak di atas dipanggil sebagai full-size atau saiz penuh. Sementara itu, trak-trak pikap seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Nissan Frontier (Navara) terletak di bawah kategori mid-size atau kompak.

Kedua, Ford F-150 Raptor dilengkapi spesifikasi agak tinggi iaitu casis heavy-duty untuk pemanduan lasak, enjin dan transmisi yang membekalkan kuasa untuk saiz badannya, suspensi prestasi tinggi Fox Racing, dan banyak lagi ciri-ciri mewah serta praktikal.

Replika Ford F-150 Raptor

Untuk mereka yang kreatif, ada juga yang mengambil jalan alternatif dengan ‘menyalin’ Ford Ranger mereka menjadi F-150 Raptor. Sudah tentu contoh popular di Malaysia adalah Wak Doyok.

Menurut hantaran Facebook beliau, trak pikap replika ini merupakan salah sebuah daripada 10 unit terawal yang ada di Malaysia.

Apa pendapat anda? Jika anda mempunyai bajet RM900,000 hingga RM1 juta untuk sebuah kenderaan, adakah anda akan beli Ford F-150 Raptor? Atau anda beli kereta lain seperti BMW 840i Gran Coupe M Sport, Mercedes-AMG GLC63 S, atau Lexus LS500?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here