Pemandu treler wanita nyaris gilis penunggang motosikal didenda RM6,000

3996

Seorang pemandu treler wanita didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret Klang sebentar tadi selepas mengaku bersalah memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang penunggang motosikal, 24 November lalu.

Majistret, Amirul Asyraf Abd Rashid turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan sekiranya orang kena saman (OKS), Noor Haffizza Che Ani, 35, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada masa sama, Amirul turut memerintahkan lesen memandu Noor Haffizza disemak sebelum diserahkan semula kepadanya.



Berdasarkan pertuduhan, Noor Haffizza yang masih bujang itu didakwa memandu lori treler di atas jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada Mohamad Iftiqar Mohamad Amran, 29, pada pukul 8.30 pagi, 24 November lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kawasan stesen minyak di Bandar Sultan Suleiman, Klang. Dia dituduh mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika OKS sedang membuat pusingan ‘U’ di dalam kawasan stesen minyak. Dia melanggar seorang lelaki yang mengepam angin tayar motosikal yang berada di hadapannya. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit tertolak ke kiri dan terjatuh sebelum mengalami kecederaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here