10 kereta mangsa ‘copy ori’ China, bukan ‘bishe-bishe’

4987

Isu produk tiruan sudah sinonim dengan China kerana negara tersebut tidak memiliki akta perlindungan mahupun undang-undang mengenai hak cipta paten.

Jadi isu ciplak, plagiat dan tiruan begitu berleluasa di sana hingga merugikan pengeluar asal dan boleh dikatakan semua barangan hampir diciplak olah pengeluar lokal di sana. 

Tetapi sejak kebelakangan ini, pertumbuhan industri kereta China semakin kukuh bahkan ada antara syarikat konglomerat Negara Tembok China itu membeli jenama sedia ada misalnya Volvo, Lotus dan MG.



Jom kita lihat antara produk yang menjadi mangsa plagiat pengeluar China:

1. Land Wind X7 (Range Rover Evoque)

Kes Land Wind X7 yang meniru rekaan Range Rover Evoque antara kes yang di bawa ke mahkamah dan mendapat perhatian dunia. Tindakan JiangLing menjual LandWind X7 yang memiliki banyak kemiripan dengan Evoque dianggap tidak sesuai dengan sistem perundangan China.

Akhirnya Jaguar Land Rover memenangi kes mahkamah ke atas Jiangling berhubung isu perlanggaran hak cipta pada 2016.

Mahkamah Daerah Beijing Chaoyang memutuskan persamaan LandWind X7 dengan Ranger Rover Evoque menyebabkan kekeliruan pengguna, sambil menggariskan lima aspek reka bentuk utama yang didapati diplagiat antaranya siluet asas, garis bumbung, lampu utama, dan bentuk badan.

2. Geely Merrie 300 (Mercedes-Benz C Class)

Dari jauh mungkin sukar untuk membezakan model plagiat Geely Merrie 300 dan Mercedes C Class. Dari belakang, Geely Merrie terlihat sebagai sebuah saloon China manakala bahagian depannya mirip Mercedes-Benz C Class.

Sekali pandang mungkin ada yang terkeliru kerana lencana pada hud depan juga mengambil inspirasi daripada Mercedes-Benz. Namun begitu Geely terselamat daripada tindakan saman dari Mercedes.

Ironinya, empat tahun lalu Geely membeli 10 peratus saham Daimler.

3. Suzhou Eagle Carrie (Porsche 718 Cayman)

Suzhou Eagle Carrie sebenarnya gabungan rekaan yang tidak begitu ‘menjadi’ antara Porsche dan Ferrari. Badan utama dan belakang kereta hampir menyamai dengan bentuk Porsche Cayman namun versi China menggunakan material plastik murah. 

Kereta tersebut melakukan debut pada 2015 dan tidak diketahui berapakah unit yang terjual. Suzhou Eagle Carrie dipasarkan sebagai kereta sport elektrik penuh yang mana pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 4.8 saat.

4. Shuanghuan SCEO (BMW X5 E53)

Shuanghuan SCEO merupakan kenderaan off road yang dikeluarkan oleh Shuanghuan Auto yang berpangkalan di Shijiazhuang, Hebei.

Syarikat tersebut meniru penampilan kabin Toyota Land Cruiser Prado manakala luarannya mirip BMW X5 (E53). Perbezaannya cuma kedudukan nombor plat yang diletakkan sedikit ke bawah.

Rekaan model tersebut mendapat perhatian BMW ketika itu dan pengeluar kenderaan mewah tersebut memfailkan saman ke atas syarikat tersebut atas perlanggaran reka bentuk. 

Walaupun model itu dipasarkan hampir ke 30 buah negara namun SUV berkenaan diharamkan memasuki pasaran Jerman.

5. Weikerui V7 (VW Up)

Begitu mudah tugas pereka syarikat automotif China. Misalnya Weikerui V7 milik syarikat Dezhou Weikerui Electric Vehicle Industries yang meniru rekaan Volkswagen Up. Model kompak China itu bukan saja memiliki persamaan dari segi rekaan dan saiz bahkan bentuk lampu, bampar serta logo juga hampir mirip.

Bagaimanapun bahagian dalam Weikeru mendapat sedikit sentuhan kreatif dengan skrin infotainmen 8-inci, papan pemuka dengan warna badan, kerusi dengan jahitan benang merah dan corong pendingin hawa besar.

6. Dojo Pioneer (Aston Martin Cygnet)

Kereta elektrik kompak, Dojo Pioneer ini meniru penggayaan Aston Martin Cygnet. Model itu menampilkan gril Aston Martin dan lencana oval acah Ford. Kereta elektrik ini hanya boleh dipandu sekitar bandar bukannya lebuhraya.

Difahamkan, asas badan model kompak ini diambil daripada Changan BenBen Mini tetapi Dojo mengubah sepenuhnya bahagian depan dan belakang.

Dojo Pioneer dikeluarkan syarikat Jiangsu Daojue Industrial Corporation, yang berpangkalan di bandar Yangzhou, Wilayah Jiangsu. Sayangnya, menurut laporan media China pada 2016, laman web jenama itu tidak aktif.

Situasi berkenaan sering berlaku pada pengeluar EV kecil di China. Selepas mengeluarkan beberapa kereta dan muflis, mereka memulakan semula perniagaan dengan jenama baharu. 

7. Shuanghuan Noble (Smart Fortwo)

Kadang kala pengeluar China langsung tidak berselindung hasil kerja plagiat mereka. Contohnya model Shuanghuan Noble yang meniru rekaan Smart Fortwo. 

Model itu dikeluarkan pada 2007 dan menjadi popular secara meluas. Pemilik jenama Smart, Mercedes-Benz berang dengan tindakan berkenaan. Namun, difahamkan tidak banyak yang boleh dilakukan syarikat tersebut susulan akta yang longgar di China.

Bagaimanapun, mahkamah Jerman mengharamkan jualan Noble di negara berkenaan tetapi model kompak itu dijual di beberapa negara selatan Eropah misalnya Greece dan Itali. 

8. CH Auto Lithia (Audi R8)

Supersport, Audi R8 turut menjadi mangsa plagiat China. Namun, kereta berkenaan merupakan model konsep yang diperkenalkan pada 2012 bukannya versi pengeluaran. 

Kereta elektrik sport coupe ini dijana oleh motor elektrik berkuasa 201hp dan tork 220Nm dengan kelajuan maksimum 170kmj. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 12 saat. Selain itu, cas penuh mampu menawarkan pemanduan sejauh 150km.

9. Geely GE (Rolls-Royce Phantom)

Limousin Geely GE mendapat kritikan kerana persamaannya dengan Rolls Royce Phantom apabila diperkenalkan pada Beijing Motor Show (2009).

Kereta itu digayakan semula dengan lampu depan sedikit besar. Bahagian kabin Geely didatangkan dengan dua tempat di belakang berbanding versi asli. 

Namun, jurucakap Geely menjelaskan segala-galanya tentang kereta tersebut adalah baharu, daripada platform hinggalah rekaan. Ia tidak lagi meminjam sebarang inspirasi daripada pengeluar lain. 

10. Youxia X (Tesla Model S)

Mangsa seterusnya adalah Tesla apabila syarikat Youxia Motors memperkenalkan Youxia X yang mirip dengan Tesla Model S. Lebih lucu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu memberitahu idea rekaan kereta elektrik itu datang dalam mimpi pada 2014.

Kemudian dia mengumpul 50 orang jurutera dan pereka bagi membangunkan kereta tersebut. Model yang diperkenalkan pada 2015 itu difahamkan memulakan pengeluaran pada 2016.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 
 

 

 
 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here