F1 rosakkan reputasi karier Alex Yoong

3645

Siapa yang tidak kenal dengan legenda sukan pemotoran negara, Alex Yoong yang menjadi satu-satunya pelumba negara yang beraksi di Formula Satu (F1).

Menyertai perlumbaan F1 merupakan impian ramai orang namun siapa sangka sukan pemotoran popular itu telah merosakkan kariernya.

SERTAI MINARDI



Menerusi sesi temubual sebuah video bertajuk Passion to Profession EP4: Alex Yoong, dia menjelaskan setelah menyertai beberapa perlumbaan sehingga ke Eropah, Alex melihat peluang menyertai F1.

“Kerana F1 baru saja tiba di Malaysia, jadi satu perjudian ketika itu kerana kami tahu tiada pelumba tempatan lagi dalam F1.

“Saya berjaya mendapat peluang menjalani ujian bersama Minardi dan semuanya berjalan lancar daripada apa yang saya sangkakan,” kata pelumba berusia 44 tahun itu.

Pada 2001, Alex ditawarkan menyertai pasukan Minardi F1. Pelumba negara itu berjaya mengekalkan kerusinya bagi musim 2002.

Walaupun prestasi yang kurang baik susulan masa kelayakan yang tidak bagus dan masalah kereta serta mekanikal, Alex masih mampu menamatkan perlumbaan posisi ke-7 pada GP Australia.

Bagaimanapun, Minardi memutuskan untuk melepaskan Alex pada musim berikutnya bahkan siapa sangka selama dua tahun penglibatan dalam F1 telah merosakkan karier yang dibinanya selama ini.

TIADA TAJAAN

Jelas Alex ketika bersama Minardi pasukan berkenaan meminta dirinya mencari sendiri tajaan. Tidak seperti pasukan F1 besar yang mana pihak tajaan akan datang sendiri namun tidak dengan Minardi.

“Kehidupan sebagai pelumba anda perlu belajar mencari sendiri tajaan kerana tiada siapa akan lakukan buat anda,” jelasnya.

Kerana kesukaran mendapat tajaan, pasukan menghadapi masalah kewangan dan apabila situasi itu berlaku kebanyakan proses akan terganggu termasuklah menjalani ujian kereta lumba. 

“Ketika itu, pasukan lain melakukan ujian setiap minggu, tapi kami tiada duit dan janji melakukan ujian hilang begitu saja,” katanya.

Kerana kekangan duit, pasukan terpaksa menghadkan kekerapan ujian dan Alex menjelaskan mereka hanya menjalani ujian selama dua hari sepanjang musim F1.

“Hanya itulah masa anda bersama kereta selain perlumbaan hujung minggu,” jelasnya.

Penglibatan singkat dalam F1 telah memberikan impak negatif pada kariernya dan Alex perlu membina semula kariernya di Amerika dan Australia.

“Formula 1 rosakkan karier saya dalam banyak perkara kerana kami sentiasa berada di belakang dan tidak berjaya.”

VIDEO

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here