Dua tahun tak balik raya! Ini tips memandu dengan selamat untuk anda

923

Apabila tiba musim perayaan, jumlah kenderaan di jalan raya semakin bertambah dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan mendadak dalam jumlah kemalangan. 

Tidak dapat dinafikan ada di antara kita yang tidak sabar dan tergesa-gesa untuk pulang ke kampung halaman namun akhirnya menjadi sebahagian daripada statistik kemalangan. Lebih menyedihkan lagi, ada juga yang menjadi mangsa akibat kecuaian pemandu lain.

Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku, kami kumpulkan tips-tips mudah sebelum dan ketika memandu di jalan raya.



Sebelum memandu

  1. Pastikan kenderaan sudah diservis dan berada dalam keadaan terbaik. Sebelum bertolak, periksa tekanan angin tayar dan pastikan ia tidak botak.
  2. Pemandu harus berada dalam keadaan segar dan tidak mengantuk. Apabila masuk ke dalam kenderaan, selaraskan tempat duduk bagi mendapatkan posisi yang tepat.
  3. Pakai pakaian yang kasual dan selesa. Pastikan anda tidak memakai selipar kerana ia boleh tersangkut pada pedal brek dan pemecut.
  4. Pastikan anak-anak duduk di tempat masing-masing dan memakai tali pinggang keselamatan. Guna ‘child lock’ jika perlu.
  5. Bawa bersama perkakas seperti lampu suluh, pemutar skru, spanar dan sebagainya untuk situasi kecemasan.

Semasa memandu

  1. Sentiasa patuhi had laju. Kementerian Kerja Raya (KKR) baru-baru ini mengumumkan bahawa had laju akan diturunkan dari 90km/j ke 80km/j bagi jalan persekutuan dan dari 80km/j ke 70km/j bagi jalan negeri sempena musim perayaan tahun ini.
  2. Jaga jarak selamat antara kenderaan. Guna peraturan 2 atau 4 saat bergantung kepada keadaan lalu lintas. Ini sangat penting terutamanya di lebuh raya di mana aliran trafik boleh berhenti secara tiba-tiba akibat kesesakan di hadapan.
  3. Guna lorong yang sesuai dengan kelajuan. Guna lorong tengah dan kiri jika ingin memandu secara santai dan biarkan lorong kanan digunakan untuk mereka yang ingin memotong. 
  4. Sentiasa gunakan isyarat untuk menukar lorong walaupun tiada kenderaan di belakang.
  5. Sentiasa peka dengan persekitaran. Sekali-sekala, gunakan cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk melihat keadaan lalu lintas di belakang dan sisi kenderaan. Pandang jauh kehadapan untuk baca keadaan trafik.
  6. Pastikan anda tidak berada dalam kawasan titik buta (blind spot) kenderaan lain dan pastikan juga tiada kenderaan lain terutamanya motosikal berada dalam titik buta kenderaan anda.
  7. Rancang perjalan dengan bijak. Selain dari mengikuti jadual perjalanan yang telah diberikan, anda juga patut tahu lebih awal ‘exit’ mana yang perlu diambil dengan merujuk papan tanda atau GPS. Boleh juga guna Waze.
  8. Elakkan segala jenis gangguan ketika memandu. Pemandu seharusnya menumpukan 100% perhatian terhadap jalan raya. Serahkan tugas menukar stesen radio kepada penumpang di sebelah.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here