Orang Asli Pos Balar terputus hubungan, laluan ditimbus tanah runtuh

419

Seramai 800 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini terputus hubungan selepas laluan yang menjadi jalan keluar dan masuk ke perkampungan mereka tertimbus akibat tanah runtuh semalam.

Kejadian disedari penduduk Orang Asli suku kaum Temiar kira-kira pukul 1 tengah hari apabila berlaku runtuhan tanah dari lereng bukit sehingga menutup permukaan jalan balak.

Seorang penduduk Orang Asli, Pasie Jossua, Mustafar, 24, berkata, dia bersama beberapa penduduk Orang Asli lain berada di kawasan berhampiran ketika kejadian.



Katanya, dia dapat melihat pergerakan tanah dan batu yang turun sebelum melihat pokok tumbang dari kawasan atas Bukit Beringin.

“Kami terkejut melihat pokok tumbang dan bunyi tanah runtuh jatuh menutup jalan.

“Sebelum itu, tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang menghantar bekalan makanan di Pos Balar sempat melalui jalan tersebut,” katanya.

Tok Batin Pos Balar, Alek Busu, 60, berkata, runtuhan tanah itu dipercayai berpunca daripada kejadian hujan berterusan sejak seminggu lalu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan seramai 230 ketua isi rumah terputus hubungan untuk ke bandar Gua Musang.

“Kami bimbang akan berlaku runtuhan susulan selepas ini kerana banyak pokok sudah tumbang di kawasan Bukit Beringin sempadan Kampung Chahuh, Pos Belatim ke Kampung Peng, Pos Balar.

“Penduduk di sini berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah jalan perhubungan kerana ia merupakan satu-satunya jalan untuk penduduk menghantar anak ke sekolah dan ke hospital,” katanya.

 
 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here