Saksi utama kemalangan maut masih dikesan

1680

Polis masih lagi mengenalpasti saksi utama yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Lembah Klang Selatan (SKVE), petang Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, saksi utama itu yang juga penunggang motosikal dikatakan bergesel terlebih dahulu dengan mangsa ketika kejadian.

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan bahawa saksi berkenaan adalah seorang lelaki warga Indonesia.



“Saksi itu diminta tampil memberi keterangan memandangkan dia terus beredar dari lokasi kejadian sejurus kemalangan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati, cukai jalan dan insuran motosikal ditunggang saksi utama itu masih sah.

Media sebelum ini melaporkan seorang penjawat awam maut serta-merta di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terbabas selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain.

Kejadian berlaku apabila motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan motosikal ditunggang seorang warga asing sebelum melanggar belakang sebuah kereta.

Lelaki itu dikatakan menaiki motosikal jenis Honda Wave 100 dengan nombor pendaftaran WC7152R.

Rakaman video kemalangan itu tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan insiden membabitkan dua penunggang motosikal, namun salah seorangnya dikatakan ‘melarikan diri’ sejurus kejadian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here