Vellfire, Myvi pinjam untuk kerja ‘ulat’ di KLIA2 kena sita

515

Nasib tidak menyebelahi pemandu Toyota Vellfire dan Perodua Myvi selepas kenderaan yang dipinjam daripada saudara serta anak disita kerana melakukan aktiviti kereta sewa haram atau ‘ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), pada Khamis.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, dua pemandu itu ialah lelaki tempatan masing-masing berusia 37 dan 54 tahun.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ tersebut mengenakan tambang kepada empat pelancong warga China dan Brunei.



“Cas bayaran yang dikenakan dari KLIA 2 ke sebuah hotel di Kuala Lumpur sebanyak RM120 dan hotel di Sepang RM50 yang akan dibayar setelah sampai ke destinasi,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati Toyota Vellfire yang digunakan pemandu terbabit ialah milik saudaranya, manakala Perodua Myvi ialah milik anak pemandu terbabit.

Katanya, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit salah.

“Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ulat ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama,” ujarnya.

Justeru, oang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu/pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here