Selangor beli jentera canggih ‘jetpatcher’ atasi masalah jalan berlubang, rosak

422

Kerja menampal jalan berlubang di negeri ini akan menjadi lebih cepat menggunakan jentera berteknologi tinggi dari United Kingdom, Jetpatcher bernilai RM1 juta.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjelaskan jentera itu hanya memerlukan sekitar 15 minit untuk menampal lubang berbanding kaedah konvensional yang mengambil masa lebih sejam.

Beliau berkata Jetpatcher juga boleh digunakan ketika hujan gerimis, selain tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk menyiapkan tampalan di setiap lokasi.



“Selalunya kita perlukan 15 orang untuk membuat kerja ini. Perlu potong lubang ikut saiz, kemudian keringkan dan baru boleh tampal. Kadangkala waktu hujan ambil masa berhari-hari untuk siap.

“Melalui kaedah baharu ini, minimum dua orang boleh laksana turapan dan dua lagi jaga trafik. Untuk satu hari, jentera ini boleh menampal kira-kira 80 lubang jika dibuat berterusan,” katanya.

Ditemui ketika pelancaran jentera bersekali Projek Turapan Mega 2024, jelasnya, hasil tampalan juga memuaskan dan berkualiti berbanding kaedah biasa dalam industri binaan dan penyelenggaraan.

Ir Izham berkata jentera itu juga direka dengan ciri mesra alam yang mampu mengeluarkan karbon lebih rendah, seiring matlamat pembangunan mampan (SDG) diamalkan negeri.

“Jentera ini menghasilkan bahan tampalan yang panas dan ini membolehkan tampalan jalan jadi padat. Maknanya kualitinya lebih bagus dan hasilkan tampalan yang cantik.

“Jentera ini digunakan mulai hari ini dengan tampalan sekitar Kuala Selangor. Kita akan libatkan 15 pelatih dan dipantau wakil dari UK. Kalau hasilnya baik, kita akan beli lagi,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here