Honda Civic Type R Ultimate Edition – Tanda perpisahan untuk legenda di Eropah

199

Mungkin inilah babak terakhir bagi sebuah legenda. Di saat pasaran Eropah semakin beralih kepada elektrifikasi dan model Civic generasi baharu semuanya hadir dengan teknologi hibrid, Civic Type R kelihatan janggal.

Di United Kingdom dan beberapa lagi negara lain di Eropah, Civic Type R satu-satunya Civic dengan enjin pembakaran dalaman sepenuhnya yang masih berjuang.

Kini, perjalanan luar biasa model ini bakal tamat.

Sebagai penghormatan terakhir, Honda menawarkan Civic Type R Ultimate Edition, edisi khas yang hanya ditawarkan 40 unit sahaja untuk seluruh Eropah.

Ini bukan sekadar model edisi terhad, tetapi juga satu penghormatan kepada legasi selama 28 tahun.

Civic Type R bukan sekadar nama kerana turut mempunyai versi khas untuk Eropah dan pernah dipasang di kilang Swindon, UK.

Penampilan Penuh Karisma

Ultimate Edition ini tampil dengan warna ikonik Championship White bersama jalur merah eksklusif pada bonet dan sisi badan yang menyerlahkan lambang Type R.

Bumbung hitam, perincian gentian karbon pada spoiler dan pelapik ambang pintu turut menjadi identiti istimewa.

Masuk ke dalam kabin, gaya gentian karbon diteruskan pada konsol tengah. Sistem pencahayaan khas turut ditambah untuk menyerlahkan beberapa bahagian seperti pelapik pintu, pemegang cawan, ruang kaki dan bawah tempat duduk.

Bila pintu depan dibuka, logo Type R dipancarkan ke permukaan jalan bagi menyambut pemilik setiap kali mereka menaiki jentera ini.

Hadiah Eksklusif untuk Pemilik Bertuah

Untuk pemilik 40 unit ini, Honda sediakan kotak hadiah eksklusif yang mengandungi emblem bernombor (1 hingga 40), gelang kunci karbon, karpet lantai khas, dan sarung kereta buatan khas.

Semuanya menjadikan Ultimate Edition ini rebutan wajib buat penggemar Type R sejati sebelum jualannya di Eropah tamat sepenuhnya menjelang 2026.

Hannah Swift, Ketua Strategi dan Produk Honda Motor Europe berkata:

“Sempena mengucapkan selamat tinggal kepada ikon sejati dalam barisan model Honda di Eropah, kami rasa ini masa paling tepat untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Civic Type R.

“Industri automotif sedang berubah dan barisan model kami perlu berevolusi seiring peraturan Eropah. Namun, Type R sentiasa menjadi ekspresi tertinggi semangat pemanduan Honda dan kami akan terus meraikan warisan ini dalam masa terdekat.”

Raja Pacuan Depan

Bermula pada tahun 1997 bersama Civic generasi keenam di Jepun, Type R sudah melahirkan lima generasi dan pelbagai edisi khas.

Ia mencipta penanda aras dalam segmen pacuan roda depan, termasuk rekod di Nürburgring Nordschleife, Magny Cours, Spa-Francorchamps, Hungaroring, Estoril, Suzuka, Silverstone dan Mount Panorama Bathurst.

Kejayaan Type R juga diteruskan dalam WTCC dan WTCR, di mana ia menyumbang kepada pelbagai kejuaraan pemandu dan pasukan.

Dengan Ultimate Edition ini, tirai Civic Type R di Eropah mungkin dilabuhkan, tetapi warisannya sebagai ikon prestasi pacuan depan akan terus hidup dalam sejarah automotif dunia dan dalam hati setiap peminat Honda sejati.

Harga Lebih Mahal

Civic Type R Ultimate Edition ditawarkan pada harga £57,905 (~RM333,541), manakala versi standard dijual bermula £51,905 (~RM298,828).

Dengan perbezaan penampilan dan buatan khas, Ultimate Edition ini tampil sebagai barangan koleksi yang cukup eksklusif bagi penggemar tegar.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here