
Pasca-pandemik menyaksikan banyak syarikat pemula kenderaan elektrik (EV) muncul bak cendawan selepas hujan.
Namun, tidak semua mempunyai nasib yang cukup baik, apatah lagi tahap penerimaan masyarakat setempat terhadap EV masih belum cukup meluas.
Salah satu syarikat pemula EV yang kini berdepan masalah ialah Ola Electric dari India.
Ola Electric sebelum ini pernah menjadi syarikat harapan dalam memimpin pertumbuhan EV di India, kini berdepan dengan krisis.
Menurut laporan Reuters, syarikat itu mengalami kerugian berjumlah 8.7 bilion rupee (RM441 juta) untuk tempoh tiga bulan pertama tahun 2025, atau lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas.
Selain itu, angka jualan Ola Electric merudum 55 peratus kepada lebih 51,000 unit berbanding 115,000 unit untuk tempoh suku keempat tahun lepas.
Para pelanggan Ola Electric juga berdepan dengan masalah kualiti komponen suspensi, pendawaian elektrik dan jaringan khidmat selepas jualan yang tidak mampu menampung bilangan pengguna yang semakin meningkat.
Sokongan selepas jualan syarikat itu juga tidak begitu memuaskan, di mana terdapat pemilik yang terpaksa menunggu berminggu-minggu untuk memastikan masalah yang ringkas dapat diselesaikan.
Keadaan semakin meruncing apabila ada kes di mana seorang pelanggan yang tidak berpuas hati membakar salah sebuah pusat pengedar Ola Electric di Kalaburagi, Karnataka.
Berbeza dengan kebanyakan pesaing seperti Bajaj, TVS, Hero dan Ather, jenama-jenama besar itu mempunyai jaringan pengedar yang meluas, khidmat yang mudah dipercayai serta mendapat kepercayaan bertahun-tahun oleh pelanggan.