
Aston Martin Valkyrie, sebuah hypercar bernilai USD3.5 juta (RM16.5 juta) merupakan jentera yang diinspirasikan daripada Formula 1, lengkap dengan enjin V12, teknologi canggih, dan lambang kebanggaan jenama asal British.
Namun, tidak bagi salah seorang pemilik hypercar itu yang mana pengalaman pemilikan menjadi mimpi ngeri buatnya malah jauh dari simbol kebanggaan.
Selepas tiga tahun dengan perbatuan 441km, pelbagai masalah dihadapi bermula dengan kerosakan hinggalah hampir terlibat kemalangan dan drama perundangan.
HAMPIR BERTEMBUNG DENGAN AMBULANS
Bercakap kepada majalah Jerman, Handelsblatt, pemilik yang hanya ingin dikenali sebagai Kunze berkongsi membeli hypercar itu pada harga EUR 3 juta (RM15.4 juta), Februari 2022.
Dia terpikat dengan bentuknya yang agresif, prestasi luar biasa, dalaman seperti kereta lumba, dan tawaran pengalaman pemanduan yang hampir sama dengan perlumbaan tetapi sah digunakan di jalan raya.
Sayangnya, Kunze tidak sempat menikmati sepenuhnya hypercar idaman. Pelbagai masalah mula muncul sebaik sahaja kereta diterima tetapi isu terbesar yang berlaku sehingga membuatkan dia hilang sabar dan menyaman Aston Martin apabila hampir bertembung dengan ambulans.
Menurutnya, insiden itu berlaku bukan atas sebab kecuaian tetapi berpunca daripada salah satu ciri keselamatan kereta yang gagal berfungsi.
Bagaimana ia boleh berlaku?, Valkyrie menggunakan enjin V12 Cosworth yang luar biasa dengan kuasa 1,000hp sekaligus menjadikannya janakuasa aspirasi semulajadi paling berkuasa pernah dihasilkan dan boleh mencapai 11,000rpm.
Bunyi yang dihasilkan begitu bingit dan setiap unit Valkyrie dilengkapi dengan fon kepala khas. Fon kepala pembatal bunyi bising ini wajib dipakai oleh pemandu setiap masa, memastikan mereka sentiasa peka dengan keadaan sekeliling walaupun sedang memecut.
Pada 24 Ogos 2024, sistem tersebut didakwa gagal berfungsi dan Kunze hampir melanggar ambulans, walaupun kenderaan itu membunyikan siren.
“Hanya kerana reaksi pantas dan kemahiran pemandu ambulans, kemalangan maut dapat dielakkan,” katanya menambah selepas kejadian dia memfailkan saman terhadap Aston Martin.
MASALAH LAIN TIMBUL
Sejak insiden itu, Kunze tidak lagi berani memandu Aston Valkyrie miliknya. Selain itu, menurut saman tersebut, isu lain mula timbul sejurus selepas penghantaran hypercar tersebut.
Kemudian, pelbagai lampu amaran mula berkelip dan sistem voltan tinggi pula gagal berfungsi selepas ratusan kilometer pemanduan.
Kemungkinan ada yang menyatakan masalah sedemikian tersebut dapat dijangka susulan menggunakan teknologi yang kompleks dengan sistem hibrid KERS ala F1 yang menambah 160 hp.
Namun, saman itu mendakwa isu-isu sedemikian tidak boleh diterima pada mana-mana kereta baharu, tidak mengira harga apatah lagi sebuah kereta bernilai lebih daripada 3 juta Euro!.
“Saya sudah muak dengan Aston Martin,” katanya kepada Mahkamah Wilayah Aachen, kerana Valkyrie beliau mempunyai lebih banyak defek berbanding keretanya yang lain.
Aston Martin menolak permintaan pemilik untuk membatalkan pembelian kerana pihak syarikat telah menghantar sebuah kereta yang sempurna tanpa cacat cela.
Kuzen juga mendakwa selain sistem hibrid yang rosak, komponen penting “Rocket Locker” dicabut tanpa pengetahuannya.
Komponen itu akan menghentikan suspensi kenderaan direndahkan ketika enjin mati dan tanpa alat berkenaan akan menyebabkan kerosakan pada kenderaan.
Tetapi Aston Martin berkata kerosakan “Rocket Locker” bukan disebabkan oleh kegagalan sistem.
Sebaliknya, pengeluar itu menyatakan ia adalah tanda-tanda haus biasa atau kesan yang timbul daripada penggantian roda yang tidak betul.
“Dalam konteks ini, kami ingin tegaskan bahawa plaintif bertegas untuk menukar roda kenderaan sendiri dan bahkan membeli set jek dari defendan khusus untuk tujuan ini,” katanya.
Susulan perbalahan itu, Aston Martin bersetuju untuk mengambil semula hypercar tersebut namun akan mengenakan bayaran EUR55,000 (RM258,000) untuk 441km pemanduan.
Aston Martin: “Kami Tak Jangka Anda Pandu Valkyrie!”
Menurut laporan Handelsblatt, Aston Martin menjangkakan pelanggan tidak akan merekodkan perbatuan yang tinggi.
“Kebanyakan pemilik memandu sekitar 300km, dan pastinya tidak lebih dari 1,000km setahun,” kata syarikat itu.
Dakwa pihak syarikat, memandu hypercar untuk tempoh lama boleh menyebabkan kos tambahan melambung.
Sebagai contoh, mereka menegaskan selepas 50,000km keseluruhan transmisi perlu diganti.
Walaupun mungkin ia adalah benar bagi sebahagian individu, tidak seharusnya sebuah jenama mengeluarkan kenyataan sinis sedemikian.
Sebelum kes dibicara, pihak mahkamah telah mencadangkan penyelesaian, tetapi Kunze enggan bersetuju. Kini, kedua-dua pihak mempunyai enam minggu untuk menyerahkan kenyataan tambahan.
Jika Mahkamah Wilayah Aachen menolak bidang kuasa, Kunze mungkin terpaksa membawa kes itu ke mahkamah British, yang kemungkinan besar akan menambah lagi kekecewaan dan keazaman beliau untuk memastikan Aston Martin membayar atas apa yang beliau sifatkan sebagai “kereta Isnin” – istilah untuk produk yang dibuat dengan buruk, seolah-olah pada hari Isnin yang malas.