
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan dua buah bot pelancong yang disyaki membawa muatan melebihi had yang ditetapkan.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata dua buah bot fiber tersebut bersama dua orang tekong warganegara Malaysia dan 21 orang penumpang warganegara asing ditahan ketika melakukan aktiviti pelancongan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot fiber berkenaan melakukan kesalahan Ordinan Saudagar Perkapalan 1952 kerana tidak mempunyai dokumen lesen dan di bawah Boat Rule 1953 kerana membawa penumpang melebihi daripada had dibenarkan.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM236,000 dan kesemua bot berserta barang kes dan kru ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Jelasnya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.