
Perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa pada jam 10.22 pagi tadi selepas mengalami gangguan sementara susulan insiden pencerobohan landasan awal pagi ini.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, gangguan berkenaan berlaku susulan insiden pencerobohan yang dilaporkan berlaku pada jam 8.02 pagi di kawasan landasan Stesen Subang Alam.
“Berdasarkan maklumat awal, individu berkenaan disyaki cuba mencederakan diri sendiri dengan melompat masuk ke kawasan landasan ketika sebuah tren sedang menghampiri platform.
“Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan dari pihak operasi Rapid Rail,” menurut kenyataan.
Mangsa berjaya diselamatkan, namun mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.
Pihak polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden ini dan Rapid Rail akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan yang dijalankan.
Susulan kejadian itu, Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan dan menghargai kesabaran serta kerjasama penumpang.