
Seorang penyeludup yang membawa 1.14 juta batang rokok bernilai RM2.3 juta sanggup melompat keluar dari lori yang sedang bergerak dalam usaha meloloskan diri di Kampung Alor Mengkuang, Gelang Mas, Pasir Mas pada Rabu.
Tindakan berkenaan menyebabkan lori itu terbabas lalu melanggar tiang.
Dalam serbuan sekitar jam 4 pagi, lori berkenaan dipercayai sedang mengangkut barang dalam keadaan mencurigakan di kawasan Cabang Empat menghala ke Kampung Ana, Tumpat.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, anggota pasukan telah mengekori dan cuba memintas lori tersebut.
“Kami telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memberikan arahan untuk memberhentikan kenderaan tersebut.
“Namun, arahan itu tidak diendahkan. Suspek terus memecut laju dan memandu dalam keadaan melulu serta berbahaya,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya kemudian mendapatkan bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) kerana terdapat beberapa individu disyaki tonto yang mengiringi lori tersebut menggunakan Honda HR-V dan Proton Wira.
Kedua-dua kenderaan tonto bertindak melulu dan cuba melanggar anggota polis yang menunggang motosikal serta kereta peronda, malah hampir terbabas ke bahu jalan.
Zulafendy menjelaskan, pemandu lori turut bertindak menghimpit MPV secara agresif sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
“Anggota yang merasa terancam telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar lori dan kenderaan tonto, namun usaha itu gagal menghentikan mereka.
“Kejadian itu berlaku dari Tumpat sehingga ke Pasir Mas selama kira-kira 30 minit sebelum penyeludup berkenaan bertindak melompat keluar dari lori,” katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemui 114 kotak mengandungi 1.14 juta batang rokok putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.
Kesemua barangan kes telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga untuk tindakan lanjut.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.