
Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM313 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM139 juta.
Kesemua pertuduhan itu adalah berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari Persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA, bagi pihak Maju Holdings.
Abu Sahid yang dibenarkan berada di luar kandang tertuduh dengan berkerusi roda kerana menghadapi masalah kesihatan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham… tidak mengaku salah,” katanya setiap kali pertuduhan terbabit dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Maju Holdings adalah pemegang konsesi Maju Expressway (MEX) yang mengendalikan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya – KLIA.
Bagi kesemua empat pertuduhan pecah amanah, Abu Sahid didakwa sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings, melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku Kuala Lumpur.