
Volkswagen memperkenalkan sistem pacuan hibrid penuh baharu. Teknologi ini dijadualkan menemui pengguna melalui model Golf dan T-Roc bermula suku keempat tahun ini.
Sistem ini dibangunkan untuk menggabungkan keupayaan pemanduan elektrik sementara dengan kecekapan tinggi serta jarak pemanduan yang jauh.
Salah satu kelebihan utama sistem hibrid penuh ini ialah ia tidak bergantung kepada kabel pengecas atau infrastruktur pengecasan luar.
Tenaga untuk fasa pemanduan elektrik dijana sepenuhnya melalui kaedah recuperation dan penggunaan enjin petrol pengecas turbo yang digabungkan dengan penjana.
Berbanding hibrid ringan, sistem ini membolehkan kadar pemanduan elektrik yang lebih tinggi bagi mengurangkan emisi, penggunaan bahan api serta kos petrol.
Berbanding dengan pacuan PHEV pula, kos pembelian hibrid lebih rendah dan lebih praktikal kerana tidak memerlukan stesen pengecasan di rumah.
Rangkaian Kuasa dan Hibrid Inovatif
Sistem hibrid penuh menggerakkan gandar hadapan kenderaan. Komponen asasnya terdiri daripada modul hibrid, enjin petrol pengecas turbo TSI dan bateri litium-ion.
Di dalam modul hibrid tersebut terdapat motor elektrik sebagai pemacu utama, motor elektrik kedua sebagai penjana, unit elektronik kuasa, pembeza serta kotak gear kelajuan tunggal.
Selain itu, ia dilengkapi klac berbilang plat kawalan elektronik dengan unit kawalan sendiri yang berfungsi untuk menyambung atau memutuskan sambungan enjin TSI daripada rangkaian kuasa.
Komponen lain yang turut disepadukan pada bahagian hadapan ialah pemampat A/C elektrik dan servo brek elektrik.
Bateri voltan tinggi dengan sel NMC mempunyai kapasiti 1.6 kWj kasar, iaitu kapasiti yang biasa untuk kenderaan HEV. Bateri ini dipasang pada bahagian lantai belakang Golf dan T-Roc.
Mod Operasi Dan Profil Pemanduan
Dua motor elektrik dan bateri voltan tinggi direka untuk mencapai keseimbangan antara kecekapan, dinamik dan keselesaan.
Motor elektrik pemacu akan menggantikan atau membantu enjin petrol dalam fasa yang memerlukan kecekapan tambahan.
Oleh itu, Golf Hybrid dan T-Roc Hybrid kerap menggunakan kuasa elektrik sahaja ketika dipandu perlahan atau dalam kesesakan lalu lintas.
Sistem pacuan ini menawarkan tiga mod operasi automatik:
- Pacuan motor elektrik: Pemanduan kelajuan rendah menggunakan motor elektrik manakala enjin TSI dimatikan.
- Pacuan siri (Serial drive): Motor elektrik bertindak sebagai pemacu utama manakala enjin TSI diaktifkan tetapi tidak disambungkan ke roda untuk menjana tenaga bagi motor elektrik melalui penjana.
- Pacuan selari (Parallel drive): Enjin petrol menjadi sistem pemacu utama bermula kelajuan 60 km/j ke atas di jalan luar bandar atau lebuh raya dengan bantuan motor elektrik sebagai booster semasa memecut.
Pemandu juga boleh memilih tiga profil pemanduan iaitu Eco, Comfort dan Sport. Dalam profil Eco, output maksimum sistem dihadkan kepada 70 peratus dan fungsi boost dimatikan.
Profil Comfort membolehkan output penuh dan fungsi boost digunakan.
Manakala profil Sport memberikan karekteristik yang lebih agresif di mana sistem akan menukar ke mod siri lebih awal untuk memastikan kuasa penuh tersedia dengan cepat.
Spesifikasi Teknikal Sistem Hibrid Penuh Golf dan T-Roc
- Enjin: 1.5 TSI evo2 pengecas turbo
- Motor Elektrik: 2 motor elektrik (pemacu dan penjana)
- Bateri: Litium-ion 1.6 kWj (kasar)
- Lokasi Bateri: Lantai belakang
- Profil Pemanduan: Eco, Comfort dan Sport
- Mod Operasi: Pacuan elektrik, Serial drive dan Parallel drive
- Sistem Penyejukan: Pemampat A/C elektrik



































