
Volkswagen memperkenalkan ID.3 Neo yang tampil sebagai pengganti kepada model ID.3 sebelum ini.
Model ini bukan sahaja membawa nama baharu, malah hadir dengan rekaan luaran lebih segar, ruang dalaman yang dipertingkat serta aplikasi teknologi terkini.
Langkah penambahbaikan ini dilihat penting buat Volkswagen di pasaran Eropah bagi mendepani ketibaan pelbagai model elektrik dari China yang membawakan pakej menarik.
Volkswagen sebenarnya turut mempersiapkan beberapa model elektrik baharu pada harga mampu milik untuk pasaran Eropah.
Reka Bentuk Luar Pure Positive
ID.3 Neo mempamerkan falsafah rekaan True Volkswagen melalui bahagian hadapan yang telah direka semula sepenuhnya.
Ia kini menggunakan bahasa rekaan Pure Positive hasil sentuhan Ketua Pereka jenama dan Kumpulan, Andreas Mindt.
Antara ciri utama yang menonjol ialah penggunaan jalur lampu yang bersambung serta logo yang bercahaya.
Selain itu, bahagian bumbung, spoiler belakang dan pintu ruang kargo kini dicat dengan warna yang sama dengan badan kereta.
Perubahan ini memberikan imej visual yang membuatkan kenderaan kelihatan lebih panjang, rendah dan dinamik.
Ruang Dalaman Bermutu Tinggi
Apabila melangkah ke dalam, perubahan ketara dapat dilihat pada landskap kokpit yang telah direka semula.
Penggunaan bahan dalaman yang premium memberikan sentuhan yang lebih selesa, setanding dengan kenderaan dalam kelas yang lebih tinggi.
Antara pembaharuan utama termasuk rekaan stereng pelbagai fungsi yang kini berbentuk rata pada bahagian atas dan bawah serta panel butang yang lebih tersusun.
Sistem maklumat hibur Innovision yang baharu turut diperkenalkan, menggabungkan Kokpit Digital bersaiz 10.25 inci dengan skrin tengah bersaiz 12.9 inci.
Sistem ini turut dilengkapi dengan kedai aplikasi bersepadu yang membolehkan pemilik memuat turun aplikasi muzik, penstriman video, parkir dan permainan video secara terus ke dalam sistem kenderaan.
Pilihan Rangkaian Kuasa dan Kecekapan Bateri
Sistem rangkaian kuasa ID.3 Neo dibangunkan semula untuk menawarkan tork lebih tinggi dan penggunaan tenaga yang lebih cekap.
Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan varian iaitu Trend, Life dan Style dengan tiga pilihan saiz bateri serta output kuasa yang berbeza.
Varian asas Trend dilengkapi dengan bateri 50 kWj (bersih) yang menjana kuasa 125 kW (170 ps).
Varian Life dan Style pula menawarkan pilihan bateri 58 kWj (bersih) dengan kuasa 140 kW (190 ps) atau bateri paling besar iaitu 79 kWj (bersih) dengan kuasa sehingga 170 kW (231 ps).
Bateri 79 kWj ini membolehkan ID.3 Neo mencapai jarak gerak sehingga 630 km mengikut kitaran WLTP.
Dari segi pengecasan, bateri 50 kWj dan 58 kWj menyokong pengecasan pantas DC sehingga 105 kW.
Manakala bagi versi 79 kWj, kapasiti pengecasan pantas DC lebih tinggi iaitu sehingga 183 kW.
Teknologi Bantuan Pemandu dan Ciri Tambahan
ID.3 Neo dilengkapi pelbagai sistem bantuan standard seperti Lane Assist, Front Assist dan fungsi brek membelok.
Melalui perisian generasi baharu, ia kini menerima ciri Connected Travel Assist dengan pengecaman lampu isyarat automatik.
Selain itu, fungsi pemanduan satu pedal turut diperkenalkan yang membolehkan kenderaan mengumpul semula tenaga melalui sistem brek regeneratif sehingga ia berhenti sepenuhnya.
Satu ciri lagi ciri baharu ialah fungsi vehicle to load yang membolehkan bateri voltan tinggi membekalkan kuasa kepada peranti luaran seperti set barbeku atau basikal dengan output sehingga 3.6 kW.
Antara kelengkapan pilihan lain yang turut ditawarkan ialah paparan head-up augmented-reality, bumbung suria panoramik dan 360-degree Area View.
Selain itu, tersedia juga fungsi urut serta memori untuk kerusi hadapan, sistem bunyi premium Harman Kardon dan pendakap boleh tanggal untuk rak basikal pada tow bar dengan had beban sehingga 75 kg.
Spesifikasi Teknikal Volkswagen ID.3 Neo
- Motor Elektrik: 125 kW (170 ps) / 140 kW (190 ps) / 170 kW (231 ps)
- Kapasiti Bateri (Bersih): 50 kWj / 58 kWj / 79 kWj
- Jarak Gerak Maksimum: Hingga 630 km (WLTP)
- Pengecasan Pantas DC: 105 kW (Bateri 50/58 kWj) / 183 kW (Bateri 79 kWj)
- Paparan Digital: 26.0 mm (10.25 inci)
- Sistem Maklumat Hibur: Innovision 12.9 inci
- Output Vehicle to Load: 3.6 kW
- Beban Tow Bar Maksimum: 75 kg




































