Utama Berita Automotif Jaecoo 5 SHS-H diperkenalkan di UK, jarak lebih 1,000 km, bagaimana dengan...

Jaecoo 5 SHS-H diperkenalkan di UK, jarak lebih 1,000 km, bagaimana dengan Malaysia?

8

Jaecoo UK memperkenalkan Jaecoo 5 SHS-H dengan rangkaian kuasa hibrid penuh dan tambahan kepada Jaecoo 5 Petrol dan versi elektrik Jaecoo 5 EV. 

Model ini dibina berasaskan Jaecoo 5 dengan menawarkan pilihan teknologi hibrid kepada pelanggan yang mengutamakan kecekapan tanpa mengorbankan praktikaliti atau jarak gerak.

Langkah ini menyusuli kejayaan besar Jaecoo di pasaran UK selepas mencatatkan rekod jualan pada bulan Mac.

Jaecoo 7 merupakan kenderaan paling laris di UK pada bulan lalu dengan jumlah pendaftaran melebihi 10,000 unit.

Di Malaysia, Jaecoo J5 telah dilancarkan pada Mac tahun ini dan bersaing dalam SUV segmen B seperti Proton X50, Honda HR-V dan terbaru Mitsubishi Xforce.

Berbeza dengan pasaran UK, Jaecoo J5 di Malaysia ditawarkan dalam satu varian pacuan dua roda pada harga RM108,000 bersama jaminan tujuh tahun atau 150,000 km.

Dengan tiga jenis rangkaian kuasa di UK, diharapkan pasaran tempatan tidak ketinggalan memandangkan jenama ini semakin diminati dan dipercayai.

Rangkaian Kuasa dan Prestasi

Jaecoo 5 SHS-H versi UK dikuasakan sistem hibrid penuh daripada Chery International yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo petrol dengan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Sistem ini menghasilkan output gabungan sehingga 224 ps (165 kW) dan pecutan 0 ke 100 km/j hanya memerlukan 7.9 saat.

Model ini menggunakan pacuan roda hadapan yang ditala untuk memberikan pengalaman pemanduan lancar serta konsisten dalam pelbagai keadaan jalan raya.

Sebagai perbandingan, Jaecoo J5 di Malaysia menggunakan enjin 1.5 liter turbo empat silinder petrol daripada Tiggo Cross yang menghasilkan 147 ps dan 210 Nm.

J5 di Malaysia menggunakan transmisi CVT dengan pecutan 0 ke 100 km/j dalam masa 10.2 saat dan kelajuan maksimum mencecah 175 km/j.

Kecekapan Bahan Api dan Jarak Gerak

Sistem hibrid pengecasan sendiri pada model UK ini direka untuk menyokong pemanduan harian yang cekap tanpa keperluan untuk mengecas seperti kenderaan hibrid plug-in.

Ia dilengkapi dengan bateri berkapasiti 1.83 kWj dan tangki bahan api sebesar 51 liter.

Gabungan ini membolehkan Jaecoo 5 SHS-H mencapai jarak gerak keseluruhan melebihi 1,046 km dengan kadar ekonomi bahan api sehingga 22.5 km/l (kitaran WLTP).

Prestasi ini amat sesuai untuk pemandu yang mahukan kecekapan bahan api bagi kegunaan harian tanpa perlu risau tentang jarak perjalanan yang terhad.

Reka Bentuk Berkotak

Varian SHS-H mengekalkan identiti visual yang sama dengan model petrol Jaecoo 5.

Ia menampilkan reka bentuk berkotak dengan profil bahu yang lebar serta gril waterfall yang menjadi ciri khas jenama tersebut.

Reka bentuk ini diinspirasikan daripada elemen semula jadi dan bentuk muka bumi untuk memberikan imej SUV yang gah namun tetap praktikal.

Terdapat lima pilihan warna yang ditawarkan iaitu Granite White, Graphite Grey, Basalt Black, Copper Green dan Lazuli Blue.

Pilihan dua warna juga disediakan bagi warna Granite White dan Copper Green.

Varian dan Spesifikasi

Jaecoo 5 SHS-H di UK ditawarkan dalam dua varian iaitu Pure dan Luxury.

Varian Pure menawarkan kelengkapan asas yang menyeluruh termasuk skrin sentuh format potret bersaiz 13.2 inci, sistem audio SONY dengan enam pembesar suara serta sokongan Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar.

Ia juga dilengkapi dengan rangkaian sistem bantuan pemandu yang komprehensif.

Bagi varian Luxury, tambahan ciri termasuk sistem audio SONY dengan lapan pembesar suara serta bumbung suria jenis condong dan gelongsor seluas 1.45 meter persegi.

Selain itu, ia turut dilengkapi kawalan iklim dua zon, lampu suasana serta kerusi hadapan dengan fungsi pemanas dan pengudaraan.

Harga dan Jaminan

Di pasaran UK, harga bagi Jaecoo 5 SHS-H bermula daripada £26,270 (RM141,017) bagi varian Pure dan £29,765 (RM159,778) untuk varian Luxury.

Penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula pada Suku Ketiga atau Q3 tahun ini.

Setiap pembelian di UK akan dilindungi oleh jaminan kenderaan selama 7 tahun atau 160,934 km serta jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,934 km.

Spesifikasi Ringkas Jaecoo 5 SHS-H UK

  • Enjin: 1.5 liter turbo petrol hibrid SHS-H
  • Transmisi: Dedicated Hybrid Transmission (DHT)
  • Kuasa Maksimum: 224 ps (165 kW)
  • Bateri: 1.83 kWj
  • Tangki Bahan Api: 51 liter
  • Pecutan 0 ke 100 km/j: 7.9 saat
  • Jarak Gerak Maksimum: Melebihi 1,046 km
  • Penggunaan Bahan Api: 22.5 km/l (WLTP)
  • Saiz Skrin: 13.2 inci
  • Sistem Audio: SONY 6 pembesar suara (Pure) / 8 pembesar suara (Luxury)
  • Bumbung Suria: 1.45 meter persegi (Gred Luxury sahaja)
  • Jaminan Kenderaan: 7 tahun atau 160,934 km
  • Jaminan Bateri: 8 tahun atau 160,934 km

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here