Utama Berita Automotif Jaecoo 7 model paling laris di UK pada Mac 2026, SUV China...

Jaecoo 7 model paling laris di UK pada Mac 2026, SUV China laku di tanah Inggeris!

9

Pasaran automotif United Kingdom menyaksikan satu kejutan apabila Jaecoo 7 dinobatkan sebagai kereta baharu paling popular bagi bulan Mac 2026 (SMMT).

Jaecoo 7 telah berada dalam senarai 10 kereta paling laris di UK sejak September 2025 dan berjaya mendaki ke tangga nombor satu buat pertama kali pada bulan lalu.

Pencapaian ini satu yang menarik kerana model SUV dari China ini yang membawakan gaya SUV Inggeris begitu laris di tanah Inggeris.

Bagi bulan Mac sahaja, Jaecoo merekodkan pendaftaran sebanyak 10,064 unit bagi model Jaecoo 7.

Sejak awal Januari sehingga kini, sebanyak 15,703 unit Jaecoo 7 telah terjual di UK.

Angka tersebut secara rasmi menjadikan Jaecoo 7 sebagai model kereta paling laris di UK setakat ini.

Prestasi Jualan dan Pegangan Pasaran

Kejayaan Jaecoo 7 pada bulan Mac menunjukkan prestasi luar biasa apabila ia berjaya mengatasi pencabar terdekatnya dengan perbezaan jualan sebanyak 70 peratus.

Secara keseluruhan, jenama Jaecoo mencatatkan jualan sebanyak 12,034 unit sepanjang bulan tersebut.

Model ini mendapat sambutan yang seimbang melalui saluran jualan peribadi dan flit dengan pecahan jualan runcit sebanyak 55 peratus.

Populariti varian hibrid plug-in sangat ketara di mana model yang dilengkapi dengan Super Hybrid System SHS-P menyumbang 85 peratus daripada keseluruhan jualan Jaecoo 7.

Jaecoo 7 menguasai 2.66 peratus pegangan pasaran kereta di UK pada bulan Mac.

Rangkaian Kuasa dan Pilihan Varian

Pelanggan di UK ditawarkan dengan beberapa pilihan rangkaian kuasa.

Model asas hadir dengan enjin petrol 1.6 liter TGDi yang boleh didapati dalam konfigurasi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

Bagi varian tertinggi, Jaecoo menawarkan sistem hibrid plug-in Super Hybrid System SHS-P dengan pengecasan pantas.

Sistem ini menawarkan jarak gerak keseluruhan sehingga 1,199 km, termasuk keupayaan pemanduan mod elektrik penuh sejauh 90 km.

Bermula Mei 2026, Jaecoo akan mengembangkan lagi pilihan model dengan pengenalan varian hibrid SHS-H serta edisi Black Luxury Edition bagi model SHS-P.

Strategi dan Jaringan Jualan

Menurut Gary Lan, CEO Jaecoo UK, kejayaan menduduki tempat pertama di UK merupakan satu detik penting bagi jenama tersebut.

Beliau menyatakan bahawa kombinasi teknologi canggih, reka bentuk menarik dan praktikaliti harian menjadi faktor utama Jaecoo 7 diterima baik oleh pelanggan di sana.

Walaupun masih baharu di pasaran, sokongan daripada pangkalan pembuatan Kumpulan Chery global membolehkan Jaecoo membuat penyesuaian pantas mengikut keperluan pasaran.

Pada masa ini, Jaecoo mempunyai rangkaian sebanyak 124 pengedar di seluruh UK untuk menyokong khidmat jualan dan selepas jualan.

Harga dan Jaminan

Jaecoo 7 ditawarkan pada harga bermula £29,105 (RM155,391) sehingga £35,175 (RM187,800) untuk varian SHS-P di pasaran UK. Setiap pembelian disertakan dengan jaminan selama 7 tahun.

Di pasaran Malaysia, SUV ini ditawarkan pada harga RM138,800 untuk varian 1.6L turbo 2WD dan RM148,800 bagi pacuan AWD

Manakala bagi versi Jaecoo J7 PHEV 2WD, ia ditawarkan pada harga RM158,800.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here