Proton e.MAS 5 dibuka untuk tempahan – EV mampu milik dari RM60,000!

68

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh PROTON, kini membuka tempahan bagi Proton e.MAS 5 serba baharu – kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia.

Proton e.MAS 5 ditawarkan pada harga anggaran antara RM60,000 hingga RM80,000 dan kini rasmi dibuka untuk tempahan.

Model ini bukan sekadar sebuah kereta elektrik, tetapi direka untuk melengkapi gaya hidup rakyat Malaysia masa kini dengan padanan gaya, praktikaliti dan kelestarian.

Orang ramai boleh membuat tempahan Proton e.MAS 5 dengan hanya RM99 dan berpeluang menerima Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad bernilai RM100, selain rebat tambahan sebanyak RM500 untuk bayaran tempahan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, dengan rekaan yang moden, dinamik pacuan roda belakang serta jarak pemanduan praktikal sehingga 325 km, Proton e.MAS 5 dicipta khas untuk rakyat Malaysia yang mahukan kereta yang mudah disesuaikan dengan kehidupan seharian mereka.

“e.MAS 5 mempamerkan gaya, kepraktisan dan kelestarian. Kini dengan tempahan dibuka secara rasmi, kami menantikan lebih ramai rakyat Malaysia bersama-sama menyertai perjalanan menuju masa depan yang lebih lestari bersama kami,” katanya.

Ringkas namun berkuasa, Proton e.MAS 5 hadir dengan gabungan teknologi pintar ATLAS OS, kemudahan pengecasan di rumah dan kos pemanduan bandar yang rendah.

Ia sesuai untuk keluarga muda atau pasangan yang ingin memiliki kereta elektrik pertama mereka,  sama ada sebagai kenderaan utama atau kereta kedua.

Dengan sokongan peta pengecasan langsung bersepadu daripada PRO-NET, e.MAS 5 memberikan pengalaman memiliki EV yang mudah, sentiasa berhubung dan berbaloi untuk semua.

Proton e.MAS 5 dibina berasaskan pelantar Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) dan bakal bersaing dengan model seperti BYD Dolphin.

Varian Premium dilengkapi bateri CATL LFP 40.16 kWh, dengan jarak pemanduan sehingga 325 km (WLTP).
Sementara itu, varian Prime menggunakan bateri 30.12 kWh dengan jarak pemanduan 250 km (WLTP).

Kedua-duanya dipadankan dengan motor tunggal “11-in-1” yang menggerakkan roda belakang (RWD) dengan kuasa output 85 kW dan tork 150 Nm. Pecutan dari 0 hingga 150 km/j dicapai dalam masa 3.9 saat.

EV ini menyokong pengecasan DC sehingga 71 kW, di mana pengecasan dari 30% ke 80% hanya mengambil masa 21 minit, manakala pengecasan AC 6.6 kW turut disediakan.

Untuk keselesaan, sistem suspensi menggunakan topang MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

Antara ciri peralatan lain termasuk lampu utama dan kabus jenis LED, dua tona warna badan, pintu but berkuasa elektrik, kawalan lampu tinggi pintar, kluster instrumen LCD 8.8 inci, enam pembesar suara, sistem penghidup tanpa kunci pintar, skrin hiburan 14.6 inci serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi keselamatan, Proton e.MAS 5 dilengkapi enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), Sistem Brek Anti Kunci (ABS), serta kamera 360 darjah.

Selain itu, model ini turut disertakan dengan rangkaian sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti:

  • Adaptive Cruise Control (ACC)
  • Autonomous Emergency Braking (AEB)
  • Forward Collision Warning (FCW)
  • Lane Departure Warning (LDW)
  • Blind Spot Detection (BSD)
  • Lane Change Assist (LCA)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • Rear Collision Warning (RCW)
  • Emergency Brake Assist (EBA)
  • Front Vehicle Departure (FVD)
  • Traffic Sign Recognition (TSR)
  • Door Opening Warning (DOW)

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here