
Golongan peminat motosikal di Eropah, khususnya di pasaran Perancis kini lebih meminati barisan motosikal yang dihasilkan oleh jenama China CFMoto.
Menurut laporan Moto-Station, CFMoto berjaya menjual sebanyak 4,741 unit motosikal sepanjang tempoh Januari-September 2025 mengatasi beberapa jenama terkemuka, dengan pegangan pasaran 3.38 peratus.
Sebagai perbandingan, untuk tempoh yang sama Ducati berjaya menjual 3,175 unit (2.26 peratus), KTM dengan 2,977 unit (2.12 peratus) dan Suzuki dengan 3,936 unit (2.81 peratus).
Namun begitu, pasaran Perancis masih lagi dikuasai oleh lima jenama utama, iaitu Honda dengan 31,677 unit (22.58 peratus), diikuti Yamaha dengan 22,485 unit (16.02 peratus), BMW dengan 14,591 unit (10.4 peratus), Kawasaki dengan 11,101 unit (7.91 peratus) dan Triumph dengan 8,583 unit (6.12 peratus).
Selain CFMoto, terdapat beberapa jenama motosikal China yang turut merekodkan jualan positif.
Seperti contoh, Voge mencatatkan 3,038 unit (2.17 peratus), diikuti QJMotor dengan 1,212 unit (0.86 peratus) dan Benelli dengan 877 unit (0.63 peratus).
Kerjasama yang terjalin dengan KTM turut memungkinkan jenama CFMoto boleh berdiri sama tinggi dengan beberapa jenama yang sudah ternama di pasaran.