“Halau kapal Petronas, aktiviti cari gali di kawasan milik Malaysia,” PMX

3650

Insiden kapal milik Petronas yang dikepung dan dihalau sekumpulan bot nelayan di perairan berhampiran Ketapang, Pulau Madura, Indonesia, baru-baru ini telah diselesaikan secara baik.

Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Malaysia mengambil serius isu berkenaan, namun menegaskan insiden itu belum mencapai tahap yang memerlukan ia dibangkitkan kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto.

Ia memandangkan kedua-dua negara mempunyai saluran diplomasi yang baik untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Anwar menjelaskan kapal berkenaan menjalankan aktiviti cari gali di kawasan milik Malaysia dan tidak menceroboh mana-mana kawasan pihak lain.

“Tentang gangguan kepada (kapal) Petronas, namun ia tidak sampai ke tahap yang memerlukan kita menghubungi Presiden Prabowo. Secara umumnya, hubungan dengan Indonesia itu amat baik dan isu sempadan ini kita leraikan sebagai sahabat.

“Petronas hanya menjalankan aktiviti cari gali di kawasan milik kita dan tidak menceroooh kawasan lain.

“Ada juga kes pencerobohan oleh nelayan, sama ada dari Malaysia ke Indonesia atau sebaliknya, yang kita usahakan penyelesaiannya secara baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), yang ingin tahu mengenai pendirian kerajaan berhubung isu persempadanan susulan insiden kapal Petronas dikepung dan dihalau oleh ratusan bot nelayan Indonesia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam isu persempadanan dengan negara jiran, kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Tetap Persempadanan, sebaliknya Malaysia akan menggunakan platform perbincangan dan diplomasi bersama negara terlibat.

“Pada peringkat sekarang, kita tidak meneruskan penubuhan Suruhanjaya Tetap Persempadanan, namun kerjasama dan perbincangan kita dengan negara jiran sememangnya turut menyentuh soal sempadan secara menyeluruh.

“Sama ada dengan Thailand, Vietnam dari segi perairan, atau Singapura dan Brunei yang masih mempunyai sedikit perbezaan kecil, terdapat beberapa kawasan yang masih belum dimeterai,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here