418 salah guna pas lawatan daripada 871 pelancong China ditahan imigresen

1167

Sehingga 30 September lalu sebanyak 3.45 juta pelawat dari China direkodkan masuk ke Malaysia, dengan 871 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Daripada jumlah itu, 418 pelancong ditahan kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja atau berniaga.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata angka itu menunjukkan kadar penyalahgunaan pas masih rendah iaitu hanya 0.013 peratus daripada keseluruhan pelawat China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan.

“Kerajaan memandang serius isu warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan PLS tetapi kemudian didapati bekerja atau menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah yang mana ia satu kesalahan di bawah Peraturan 11(7) (a), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Pada 2024, jumlah ketibaan pelawat dari China ialah 3.95 juta orang dan hanya 1,009 orang warga China ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Daripada jumlah itu, 309 orang ditahan kerana menyalahgunakan PLS untuk bekerja atau berniaga bersamaan 0.008 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan,” katanya.

PENGUATKUASAAN BERKALA

 

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi memastikan isu berkenaan dapat dikawal sepenuhnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dan bersasar di seluruh negara, termasuk di 224 kawasan panas yang menjadi tumpuan warga asing.

“Antara langkah diambil termasuk pelaksanaan Ops Belanja, Ops Jaja dan Ops Selera yang menumpukan kepada majikan yang menggajikan atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI) serta operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh.

“Jabatan Imigresen turut menugaskan pegawainya untuk melaksanakan pemantauan ‘omnipresence’, naziran dan Inspektorat Penguatkuasaan di pelbagai lokasi seperti pasar borong, pusat perniagaan, institusi pendidikan dan kawasan perumahan yang dikenal pasti menggajikan pekerja asing tanpa izin,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan akan terus komited memastikan isu berkenaan ditangani secara berkesan demi memelihara kedaulatan undang-undang dan melindungi kepentingan ekonomi rakyat tempatan.

“Tindakan penguatkuasaan juga akan terus dipertingkat dengan pendekatan ‘zero tolerance’ terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat kemasukan serta terhadap pihak tempatan yang bersubahat,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here